DAP cadang PRU16 serentak bersama PRN Melaka, Sarawak dan Johor

DAP cadang PRU16 serentak bersama PRN Melaka, Sarawak dan Johor

Jalur Gemilang
ANTHONY LOKE SIEW FOOK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: DAP mencadangkan supaya Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) diadakan serentak dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Sarawak dan Johor.

Setiausaha Agungnya, Anthony Loke Siew Fook berkata, langkah itu dilihat lebih menjimatkan daripada segi kos dan memudahkan gerak kerja pilihan raya khususnya bagi Sarawak yang memerlukan perbelanjaan tinggi.

“Ini sudah tentu keputusan penting yang perlu dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Namun, saya akan memberikan pandangan parti dan kami cenderung supaya pilihan raya serentak ini diadakan,” katanya ketika berucap merasmikan Konvensyen DAP Johor 2025 di Segamat, Johor hari ini.

Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka dijangka terbubar secara automatik pada Disember tahun depan diikuti Sarawak dan Johor pada 2027.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menganggarkan kos sebanyak RM420 juta bagi mengendalikan enam pilihan raya negeri pada tahun lalu, manakala PRN Sabah akan datang dijangka menelan belanja RM116.8 juta.

Mengulas lanjut, Siew Fook berkata, Pakatan Harapan (PH) mengekalkan prinsip bahawa semua penyandang kerusi diberi peluang bertanding semula sambil menegaskan rundingan dengan Perdana Menteri akan dibuat bagi memastikan kesinambungan kejayaan parti.

Beliau menyatakan keyakinan kemampuan DAP mengekalkan dan menambah bilangan kerusi dalam pilihan raya akan datang, dengan syarat semangat ahli parti terus utuh.

“Bagi Johor, sekurang-kurangnya kita perlu mengekalkan kedudukan sedia ada iaitu lima kerusi Parlimen dan 10 kerusi DUN,” katanya.

Menurutnya, Johor merupakan negeri yang unik kerana di peringkat Persekutuan, PH bekerjasama dengan Barisan Nasional (BN), manakala di peringkat negeri, DAP bertindak sebagai pengimbang.

“Kerjasama  ini akan berlarutan sehingga pilihan raya akan datang,” katanya.

Beliau menggesa jentera DAP Johor membantu kempen PRN Sabah yang dijadual diadakan pada 29 November ini dengan pengundian awal pada 25 November.

“Saya berharap Pengerusi DAP Johor, Teo Nie Ching dapat menggerakkan lebih ramai ahli untuk turun membantu rakan-rakan di Sabah menghadapi pilihan raya hujung bulan ini,” katanya. – UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN