KOTA KINABALU: Senarai akhir nama calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang dimuktamadkan hanya menunggu masa diumumkan secara rasmi untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) 29 November ini.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata nama calon GRS sudah dimuktamadkan akan diumumkan sedikit lama lagi.
“Senarai nama calon GRS untuk bertanding PRN17 sudah muktamad dan menunggu masa pengumuman.
“Pengumuman mengenainya dijangkakan tiga atau empat hari dalam 11 atau 12 November sebelum hari penamaan calon,” katanya selepas menyempurnakan Majlis Penyampaian Watikah Felo Sabah Maju Jaya (SMJ) 4.0 kepada 42 anak muda di negeri ini yang menyertai program itu di Menara Kinabalu, hari ini.
Katanya, keputusan akhir mengenai calon tertakluk kepada presiden parti masing-masing dalam gabungan GRS.
Hajiji yang juga Pengerusi GRS berkata, manifesto gabungan itu pula akan dilancarkan sehari atau dua hari selepas penamaan calon.
Mengenai kemungkinan berlaku pertembungan calon dalam kalangan parti gabungan GRS, beliau berkata, perkara itu bukan masalah besar jika berlaku.
“Belanggar sikit-sikit itu boleh lah… tidak apa,” katanya menyentuh tindakan segelintir individu yang meninggalkan parti selepas tidak dicalonkan.
Beliau berkata, mereka yang tidak dicalonkan sepatutnya tidak berkecil hati, sebaliknya tampil membantu calon yang dipilih parti untuk menang pilihan raya.
“Yang tidak dapat menjadi calon, sepatutnya tidak marah dan tidak memikirkan untuk menjadi calon sahaja.
“Apabila tidak dapat, mereka pergilah dan menjadi pemimpin, pejuang kena ada kualiti, bukan kerana tidak dapat calon kita berkecil hati,” katanya. – UTUSAN










