NEW YORK: Jaguh pecut Amerika Syarikat (AS), Noah Lyles membuktikan statusnya sebagai raja pecut dunia apabila merangkul gelaran kebangsaan 100 meter (m) buat kali ketiga selepas mencatat masa terpantas dunia tahun ini, 9.79 saat pada Kejohanan Olahraga AS di Stadium Icahn, semalam.
Pemenang pingat emas Olimpik Paris 2024 itu bermula agak perlahan, namun mempamerkan pecutan luar biasa pada 30 meter terakhir untuk meninggalkan pencabar-pencabarnya sebelum melintasi garisan penamat dengan bergaya.
Pelari veteran, Ronnie Baker muncul naib juara selepas mencatat 9.88s, mengatasi Kenny Bednarek yang turut merekodkan masa sama tetapi sekadar di tempat ketiga, manakala bekas juara dunia, Christian Coleman menamatkan saingan di kedudukan keempat dengan 9.93s.
Lyles berkata, dia tidak panik biarpun ketinggalan pada awal perlumbaan kerana yakin mampu memintas lawan apabila memasuki fasa penamat.
“Saya nampak kedudukan Christian dan saya tahu sudah tiba masanya untuk memecut. Saya hanya lakukan apa yang saya tahu terbaik,” katanya.
Catatan 9.79s itu menyamai rekod peribadinya ketika memenangi emas Olimpik di Paris tahun lalu, selain memperbaharui catatan terbaik dunia musim ini yang sebelum ini dipegang Oblique Seville dari Jamaica menerusi masa 9.82s.
Dalam saingan wanita, Sha’Carri Richardson turut mencuri tumpuan apabila meraih gelaran kebangsaan 100m buat kali ketiga dengan catatan 10.77s, sekali gus memberi isyarat dia kembali berada pada prestasi terbaik selepas melalui musim 2025 yang sukar.
Juara dunia 2023 itu menewaskan rakan senegaranya, Kayla White yang meraih tempat kedua dengan 10.90s manakala Tamari Davis melengkapkan podium selepas mencatat 11.00s. – AGENSI/UTUSAN










