LONDON: Liverpool dilaporkan sudah mula menyusun strategi jangka panjang untuk mendapatkan bintang Real Madrid, Vinicius Junior apabila meletakkan pemain Brazil itu sebagai sasaran utama bagi memperkukuhkan jentera serangan mereka.
Menurut laporan dari Sepanyol, bekas juara Liga Perdana Inggeris (EPL) itu bagaimanapun tidak bercadang membawa masuk Vinicius dalam jendela perpindahan musim panas ini, sebaliknya bersedia menunggu sehingga kontraknya bersama Real berakhir pada 2027 bagi mendapatkan khidmatnya secara percuma.
Perkembangan itu hadir ketika rundingan kontrak baharu antara Vinicius dan Real dilaporkan masih belum menemui kata sepakat, sekali gus membuka ruang kepada beberapa kelab elit Eropah untuk memantau situasi pemain berusia 26 tahun tersebut.
Wartawan Sepanyol, Ramon Alvarez de Mon, mendedahkan Liverpool merupakan antara kelab yang paling serius memantau perkembangan kontrak pemain berkenaan dan telah memberikan reaksi positif terhadap kemungkinan mendapatkan tandatangannya pada masa depan.
Menurut beliau, pendirian rasmi kedua-dua pihak ketika ini masih sama apabila Real mahu mengekalkan Vinicius manakala pemain itu juga berhasrat untuk terus menyarung jersi Los Blancos.
Namun, Alvarez de Mon menjelaskan sehingga kini masih belum terdapat petanda bahawa rundingan kontrak berjaya diselesaikan, menyebabkan wakil pemain tersebut terus menilai pilihan yang ada termasuk daripada beberapa kelab EPL.
“Dalam peringkat awal perbincangan, terdapat sebuah kelab yang memberikan maklum balas positif terhadap kemungkinan mendapatkan Vinicius.
“Dari segi kewangan dan perancangan, perpindahan itu lebih realistik untuk direalisasikan pada 2027 dan kelab tersebut ialah Liverpool,” katanya menerusi saluran YouTube miliknya.
Beliau turut percaya jika Vinicius memasuki pasaran sebagai ejen bebas pada 2027, persaingan untuk mendapatkan pemain itu akan menjadi lebih sengit dengan gergasi Eropah seperti Bayern Munich dan Paris Saint-Germain (PSG) dijangka turut menyertai perlumbaan.
Musim baharu dijangka menjadi medan penting buat Vinicius untuk membuktikan kemampuannya di bawah pengurusan baharu Real yang diketuai Jose Mourinho. – AGENSI/UTUSAN









