'NERAKA' SAMPAH DI PULAU PERANGINAN - Utusan Malaysia

‘NERAKA’ SAMPAH DI PULAU PERANGINAN

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PULAU Redang, Terengganu ‘syurga’ tropika yang se­ring dipromosikan sebagai an­tara pulau tercantik di dunia dengan menjanjikan laut mem­biru, pasir memutih dan keindahan alam yang sukar ditandingi.

Di sebalik imej yang mem­pesonakan, terpampang si­si lain yang tiada dalam risalah pelancongan.

Timbunan sampah di be­be­rapa lokasi bukan sahaja men­­cacatkan landskap, malah menimbulkan persoalan sama ada ‘syurga’ pelancongan itu mampu kekal sebagai destinasi ikonik negara.

Jika tidak, ia akan ber­ubah men­jadi ‘neraka sampah’, ma­lah menjejaskan imej Malaysia di mata pelancong ketika negara menjadi hos Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026.

Perjalanan Mingguan Malaysia menaiki bot selama kira-kira 40 minit dari Jeti Merang sepatutnya menjadi pembuka tirai kepada pengalaman menikmati keindahan Pulau Redang.

Namun, perkara pertama yang dilihat mata sebaik kaki menjejak Jeti Kampung Baru ada­lah timbunan sampah di pe­sisir laut berhampiran de­re­tan kedai makan. Kelihatan long­gokan sampah berse­pah di kawasan pengumpulan, seolah-olah tiada sistem pelu­pu­san dan pengangkutan sisa yang teratur.

Difahamkan, bot yang me­ngang­kut sisa tidak dapat menampung kapasiti sampah yang banyak. Kebetulan ketika itu, air pasang menyebabkan banyak sampah dalam plastik hitam terapung di permukaan laut.

Tinjauan diteruskan menggu­nakan motosikal di sekitar pulau termasuk di kawasan longgokan sampah ber­kenaan.

Bau busuk menusuk hidung, lalat menghurung longgokan sam­­pah kerana terdapat sisa ma­­kanan dan cecair yang meleleh keluar daripada plastik, selain beberapa ekor biawak me­nyelongkar timbunan untuk men­cari makanan.

Di kawasan sekitar terda­pat satu lorong kecil yang tersorok menghala ke Lapangan Ter­bang Redang dipenuhi timbunan sampah seperti kayu-ka­yan, plastik, botol, besi, tin mi­numan, tin cat dan pelbagai si­sa buangan lain.

Lebih memburukkan, kawa­san itu boleh dilihat jelas dari je­ti, selain menjadi laluan utama pelancong ke chalet, hotel dan menghala ke Pantai Teluk Dalam.

Tinjauan turut mendapati be­­berapa premis makanan di kawasan kampung masih tidak mempunyai sistem pembetungan yang sempurna. Air sisa dari sinki disalurkan terus ke laut tanpa melalui sebarang sistem rawatan atau tapisan.

Keadaan itu amat menjijikkan dan mengundang bau busuk serta kehadiran lalat dan langau yang boleh menjejaskan kebersihan makanan dan risiko kesihatan penduduk serta pelancong.

Malah, ia mencemarkan perairan sekitar, sekali gus boleh menjejaskan kualiti ekosistem marin yang menjadi habitat pelbagai spesies hidupan laut.

Seorang pengusaha bot yang ditemui, Khairul Azhar Mohd. Darus berkata, sampah di Pulau Redang tidak diselenggara de­ngan baik oleh pihak berwajib.

“Saya amat kecewa kerana su­dah banyak aduan dibuat te­ta­pi seperti tiada tindakan tegas dan konsisten untuk selesaikan masalah ini.

“Malah, isu sampah ini menjadi perbualan pelancong yang menaiki bot. Saya malu dan tia­­da jawapan untuk mereka,” ka­ta­nya.

Selain itu, isu bau turut di­bang­kitkan penduduk terutama ketika waktu pagi semasa air laut masih surut.

Menurut penduduk yang ha­nya ingin dikenali sebagai Su­lai­man, masalah sampah yang bertimbun itu sudah berlarutan sejak enam tahun lalu tetapi tiada tindakan sewajarnya dan hanya dilaksanakan untuk jangka masa pendek.

“Terlalu banyak aduan yang kita sudah buat tetapi penambahbaikan hanya dibuat apabila ada aduan, kemudian senyap se­mula dan sampah bertimbun lagi.

“Masalah bau ini pun sudah banyak kali diadukan, malah para pelancong pun bercakap ten­tang masalah yang sama. Ia memberi imej yang tidak baik kepada kami sebenarnya sebagai penduduk kampung,” kata­nya.

Sulaiman yang tinggal di kam­pung itu sejak 41 tahun lalu mahu pihak berkuasa tempatan (PBT) membina stor sampah tertutup seba­gaimana di Jeti Laguna, Long Beach.

“Perkara pertama yang pelancong akan nampak sebaik tiba di jeti adalah longgokan sampah dan kami tidak mahu perkara itu berlaku lagi kerana boleh menjejaskan sektor pelanco­ngan dan sumber pendapatan pen­duduk kampung.

“Jadi, kami benar-benar ha­rap­­kan perubahan,” katanya.

KESAN SAMPAH DI DASAR LAUT

PANDANGAN atas timbunan sampah berhampiran jeti nelayan yang berlaku akibat sistem kutipan tidak efisien sejak beberapa tahun lalu semasa tinjauan di Kampung Baru, Pulau Redang, Terengganu, baru-baru ini. – MINGGUAN/PUQTRA HAIRRY

Puntung rokok, lampin pakai buang, bekas minuman dan pa­ling banyak plastik, antara jenis sampah ditemui dalam tinjauan dan aktiviti pembersihan di pesisir pantai bersama Persatuan Penyelam Konservasi Best Malaysia (BEST).

Sikap tidak bertanggungja­wab dan memalukan itu men­cer­minkan kesedaran ma­sya­rakat dalam menghargai alam se­kitar, dengan hanya meng­ha­rapkan kontraktor pembersihan yang akan melaksanakan tugas itu.

Masalah sampah di daratan ha­nyalah sebahagian daripada gambaran sebenar tetapi hakikatnya ancaman yang lebih mem­bimbangkan tersembunyi di dasar laut, jauh daripada pandangan mata pelancong.

Wartawan Mingguan Malaysia turut berpeluang menyertai aktiviti selam di dasar laut bagi menyaksikan sendiri kesan pembuangan sampah yang menjejaskan ekosistem marin yang ti­dak kelihatan dari daratan.

Sepanjang tempoh 51 minit dengan kedalaman 16 meter dari dasar laut di Tapak Selam Ka­pal Karam Bahagia, ia membongkar kemusnahan hidupan laut. Pelbagai sisa plastik, jaring hantu dan sampah lain dijumpai terperangkap yang dipercayai su­dah bertahun-tahun.

Kejernihan air dianggarkan ha­­nya sekitar 50 peratus dengan jarak penglihatan kira-kira lima meter.

Botol kaca, plastik makanan, ta­li pancing dan lampin pakai buang mencemari terumbu karang manakala tin minuman serta bekas makanan memenuhi dasar laut.

Selain itu, tukun tiruan (bang­­kai kapal) yang sepatutnya menjadi tapak pembiakan ikan kini turut ditenggelami sampah plastik.

Malah, siapa sangka, penutup mesin basuh yang sepatutnya ber­akhir di tapak pelupusan sam­­pah turut bersemadi di dasar laut sehingga menjadi tempat ikan berlindung dan membiak.

Menurut penyelam yang se­ring terlibat dengan aktiviti pem­bersihan dasar laut, Aprilia Yuaningsih, kebiasaannya kejer­nihan air laut adalah seperti kris­tal dan mempunyai jarak peng­lihatan jelas.

“Keadaan ini berbeza apabila menyelam di pulau lain berbanding Pulau Redang. Di Pulau lain jarak penglihatan lebih jelas sementara di Pulau Redang keruh setiap kali melakukan aktiviti menyelam,” katanya.

SAMPAH NEGARA LUAR

TIMBUNAN sampah berhampiran jeti nelayan di Kampung Baru, Pulau Redang mencacatkan pemandangan.

Lebih memburukkan, pencemaran dasar laut Pulau Redang bukan hanya berpunca daripada aktiviti tempatan, malah dipercayai turut dibawa arus laut dari negara jiran. Ini menyebabkan pulau itu menjadi tempat per­singgahan sampah negara luar, se­belum sisa berkenaan akhir­nya terdampar di pantai.

Tinjauan menemui pelbagai plastik makanan dan bekas produk kosmetik berlabel bahasa asing yang dipercayai hanyut dari perairan Vietnam dan Thailand, sekali gus menjadikan Pu­lau Redang sebagai ‘mangsa’ pencemaran rentas sempadan.

Aprilia berkata, masalah sam­pah negara luar ini bukan perkara baharu kerana sering di­temui di dasar laut pulau-pulau di Malaysia.

“Terlalu banyak yang kita jum­pa, bukan perkara ini tidak dila­porkan. Saya sendiri pun ti­dak tahu kelemahannya di ma­na. Adakah penguatkuasaan ki­ta longgar?,” soalnya.

Aktiviti pembersihan selama hampir sejam di dasar laut itu ber­jaya mengumpulkan seba­nyak 56.05 kilogram (kg) kutipan sampah sisa marin manakala di pesisir pantai pula sebanyak 400.13kg dalam tempoh tiga hari bermula 27 Jun lalu.

Pengasas BEST, Mohd. Ariff Is­mail berkata, aktiviti pembersihan dasar laut bukan sahaja membantu memulihkan ekosis­tem marin, malah memboleh­kan pihaknya mengenal pasti asal sisa sampah tersebut.

“Apabila mengutip sampah, kami dapat mengenal pasti negara asalnya berdasarkan label pada produk. Di sinilah kerajaan perlu memainkan peranan lebih besar, termasuk membawa isu pencemaran rentas sempadan ini ke peringkat antarabangsa se­perti Pertubuhan Bangsa-bang­sa Bersatu (PBB),” katanya.

Mohd. Ariff berkata, usaha pem­bersihan dasar laut ini ha­nya berkesan sekiranya melibat­kan kerjasama serantau bagi mem­bendung kemasukan sisa pe­­pejal dari negara jiran.

“Apabila pulau sentiasa bersih, pastinya lebih ramai pelancong akan datang dan ini memberi manfaat kepada ekonomi setempat.

“Pelancong bukan hanya datang kerana hotel yang cantik, tetapi mereka mahu melihat laut yang bersih dan hidupan ma­rin yang masih terpelihara,” ka­tanya.

HIDUPAN TERUMBU KARANG MEROSOT

Ekosistem terumbu karang di perairan Pulau Redang kini berada pada tahap membimbangkan dalam tempoh sedekad apabila merekodkan penyusutan paling besar pada 2025.

Pakar Biologi Marin dan Pensyarah Kanan Fakulti Sains dan Alam Sekitar Marin, Universiti Ma­­laysia Terengganu (UMT), Prof. Madya Dr. Tan Chun Hong berkata, purata litupan karang hidup di Malaysia merosot kepada 39.94 peratus pada 2025 berbanding 44.65 peratus pada 2024.

Data itu jelas menunjukkan pe­nurunan sebanyak 4.71 mata peratusan, sekali gus menunjuk­kan kemerosotan tahunan pa­ling ketara sejak rekod pemantauan bermula pada 2016.

“Paras itu juga merupakan yang terendah dalam tempoh 10 tahun lalu, meskipun masih berada dalam kategori sederhana.

“Kemerosotan ini didorong peningkatan suhu disebabkan sikap manusia seperti tekanan daripada aktiviti pelanco­ngan yang semakin meningkat, pencemaran dan sistem kumbahan tidak sistematik,” katanya.

Tambah Chun Hong, situa­si itu merupakan ‘harga’ yang di­ba­yar akibat sikap manusia yang menganggap laut sebagai tong sampah.

“Apa yang sepatutnya menja­di habitat semula jadi hidupan marin kini dicemari sisa buangan yang mengambil masa ratusan tahun untuk terurai,” katanya.

Katanya, usaha pemu­li­ha­raan perlu dibuat bagi menjamin keseimbangan, sekali gus memerlukan pengurusan pelancongan lebih lestari.

Tanpa tindakan segera, keindahan yang menjadi kebanggaan negara mungkin hanya tinggal dalam gambar-gambar untuk pro­mosi pelancongan sahaja. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN