KOTA KINABALU: Barisan Nasional (BN) akan menentukan calon Ketua Menteri melalui cara perundingan selepas parti itu memenangi banyak kerusi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, hierarki harus diberikan keutamaan dalam menentukan bakal Ketua Menteri.
“Kita telah membuat keputusan bahawa apabila kita telah memenangi kerusi yang banyak, barulah kita akan membuat cara syura perundingan dalam menentukan calon Ketua Menteri.
“Tentunya kita menyakini bahawa hierarki harus diberikan keutamaan dalam organisasi,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Majlis Pelancaran Manifesto BN Rancangan Pembangunan Sabah Satu di sini hari ini.
Ahmad Zahid ditanya mengenai calon Ketua Menteri daripada BN sekiranya parti itu berjaya memenangi PRN Sabah pada minggu depan.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, jentera parti kini berada dalam kesepakatan penuh, khususnya melibatkan kesepaduan kerjasama BN dan Pakatan Harapan (PH) di semua kerusi yang ditandingi.
“Kita mempunyai kesepakatan dan kerjasama di semua kerusi yang ditandingkan BN dan PH,” jelasnya.-UTUSAN










