KUALA TERENGGANU: Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu menyifatkan Belanjawan Terengganu 2026 yang dibentang Isnin lalu sekadar menghitung angka yang kelihatan indah di atas kertas tetapi tidak benar-benar menjiwai realiti rakyat.
Badan perhubungan itu dalam satu kenyataan berkata, tema Memacu Potensi, Melonjak Prestasi yang diangkat Kerajaan Negeri Terengganu bagi Belanjawan 2026 kedengaran gah di pentas rasmi dan media sosial apabila diunjur meningkat kepada RM1.998 bilion dengan perbelanjaan mengurus RM1.938 bilion serta lebihan RM59.94 juta.
UMNO Terengganu melihat belanjawan itu sebagai paparan angka yang indah di atas kertas tetapi belum tentu mendarat di dapur dan kehidupan rakyat.
“Dalam keadaan negeri lain seperti Pahang sudah empat tahun berturut-turut melepasi hasil RM1 bilion, Terengganu masih terperangkap dalam nostalgia pencapaian era Kerajaan Barisan Nasional (BN) dahulu,” katanya.
Isnin lalu, Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar membentangkan Belanjawan Terengganu 2026 yang memperuntukkan sebanyak RM1.938 bilion untuk perbelanjaan mengurus termasuk caruman kepada Kumpulan Wang Pembangunan sebanyak RM450 juta dengan hasil dianggarkan berjumlah RM1.998 bilion.
Menurut UMNO Terengganu, di sebalik paparan angka dalam belanjawan itu, pelbagai persoalan berkaitan kepentingan rakyat timbul antaranya di mana Tabung Pesakit Kronik Tabung Darul Iman (TDI) yang suatu ketika dahulu membantu ribuan rakyat marhaen?
Katanya, rakyat juga mempersoal mengapa tiada Dana Aidilfitri seperti dahulu, mengapa bonus penjawat awam terus dilupakan dan di manakah pusat pertumbuhan industri baharu yang boleh memberi peluang pekerjaan sebenar kepada anak muda?
“Rakyat tidak menilai angka di Dewan Undangan Negeri (DUN) tetapi mereka menilai kesejahteraan di pasar, sawah, jeti dan di dapur mereka sendiri,” katanya.
UMNO Terengganu berkata, hakikat yang perlu diakui lebih 85 peratus hasil negeri berpunca daripada Dana Khas Petroleum dan terimaan bukan hasil (RM1.709 bilion).
Katanya, hasil cukai dan bukan cukai sendiri hanya RM288.6 juta menunjukkan Terengganu belum benar-benar memacu potensi ekonomi dalaman.
“Selagi kita terlalu bergantung kepada hasil minyak, selagi itu negeri ini rapuh dan mudah terdedah kepada ketidaktentuan pasaran,” katanya,
Justeru, UMNO Terengganu menyeru Belanjawan Terengganu 2026 benar-benar menjiwai realiti rakyat dan bukannya sekadar menghitung angka tetapi membina makna.
“Negeri ini tidak kekurangan sumber, hanya perlu keberanian dan kejujuran untuk memastikan hasil bumi yang dikurniakan Allah benar-benar memakmurkan rakyat seluruhnya. Potensi tanpa keberanian untuk berkhidmat kepada rakyat hanyalah angka di atas kertas,” katanya. – UTUSAN










