KUALA NERUS: Kehilangan ibu bapa di usia muda tidak mematahkan semangat Mohamad Khairil Mizwan Mohamed Yusoff, 23, untuk terus melakar kecemerlangan akademik sehingga dinobatkan penerima Anugerah Terbaik Fakulti Sains Kesihatan pada Majlis Idul Ilmi Konvokesyen Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) kali ke-17, di sini, semalam.
Anak bongsu daripada enam beradik itu mengakui perjalanan menuntut ilmu tanpa kehadiran ibu bapa bukan sesuatu yang mudah apatah lagi ketika melihat rakan-rakan lain ditemani ibu bapa masing-masing pada hari bersejarah tersebut.
“Saya rasa sedikit terkilan apabila tengok orang lain datang konvokesyen bersama emak ayah masing-masing. Tetapi saya belajar untuk kuat dan bersyukur sebab masih ada abang dan adik-beradik lain yang sentiasa menyokong,” katanya ketika ditemui selepas majlis konvokesyen itu.
Khairil yang berasal dari Tampoi, Johor Bahru berkata, dia kehilangan ibunya pada 2018 ketika belajar di tingkatan empat manakala bapanya pula menghembuskan nafas terakhir ketika sedang mengikuti pengajian Asasi Sains di Universiti Malaya (UM) pada 2021.
“Sejak itu, saya berpegang pada satu semangat belajar untuk banggakan arwah emak ayah walaupun mereka tiada di sisi. Mereka sudah banyak berkorban untuk saya, jadi saya kena teruskan perjuangan mereka dengan berjaya,” katanya.
Bekas pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) itu memperoleh 9A sebelum melanjutkan pengajian ke Asasi Sains di UM dan seterusnya menyambung pengajian di UniSZA dalam bidang Sains Bioperubatan.
Walaupun diuji kehilangan insan tersayang, Khairil mengekalkan keputusan cemerlang dengan purata nilai gred kumulatif (CGPA) 3.85.
Menurutnya setiap kali berasa putus asa dalam pelajaran, dia mengingat kembali pengorbanan bapanya yang bersusah payah membesarkan mereka enam beradik selepas pemergian ibunya sebelum ini.
“Saya yakin arwah emak dan ayah sentiasa nak tengok saya belajar tinggi-tinggi. Jadi setiap kali rasa susah, saya akan ingat ayat itu jadi kekuatan saya untuk teruskan,” ujarnya. – UTUSAN










