PETALING JAYA: Sektor pembinaan tempatan diunjur berdepan cabaran sepanjang tahun ini, susulan peningkatan harga bahan binaan khususnya simen yang melonjak 9.3 peratus tahun ke tahun.
Bank Penyelidikan Public Investment (PublicInvest) mengekalkan saranan ‘overweight’ terhadap sektor tersebut kerana ia mempunyai aliran kontrak baharu yang kukuh dengan sentimen pendapatan jangka pendek masih disokong oleh buku pesanan industri yang kekal berdaya tahan.
“Bagaimanapun, kami memberi amaran bahawa sebarang kenaikan kos bahan binaan yang berterusan berpotensi memberi tekanan kepada margin keuntungan industri, walaupun tekanan inflasi tersebut masih boleh diuruskan buat masa ini,” katanya dalam nota penyelidikan.
Menurut PublicInvest, sektor pembinaan Malaysia kini memasuki fasa pertumbuhan yang lebih sederhana selepas mencatatkan pertumbuhan luar biasa sebanyak 20.2 peratus pada tahun kewangan 2024 dan 12.5 peratus pada tahun kewangan 2025.
Sebaliknya, segmen sektor swasta terus menjadi pemacu utama apabila menyumbang RM30.5 bilion atau 65.5 peratus daripada keseluruhan nilai kerja pembinaan yang disiapkan berjumlah RM46.5 bilion pada suku pertama tahun kewangan 2026.
“Bagi sektor swasta, pertumbuhan sebanyak 13.2 peratus yang didorong oleh aktiviti perdagangan khusus serta pembinaan bangunan bukan kediaman hasil permintaan pembangunan pusat data berskala besar menjadi faktor utama kepada pengukuhan tersebut,” katanya.
Di sebalik perkembangan itu, firma penyelidikan tersebut mengulangi saranan beli terhadap beberapa saham pilihan utama bagi syarikat pembinaan negara mengikut gred modal masing-masing.
Firma itu menjangkakan harga sasaran bagi saham bermodal besar seperti Gamuda Bhd. dan IJM Corporation Bhd. akan kekal kompetitif berikutan rekod prestasi yang kukuh dalam mengendalikan projek infrastruktur awam berskala besar.
Dalam pada itu, andaian bagi saham bermodal kecil dan sederhana meletakkan Kerjaya Prospek Group Bhd. sebagai pilihan utama dipacu oleh buku tempahan belum dibil yang kukuh serta pembayaran dividen yang konsisten.
PublicInvest berpendapat saluran projek infrastruktur negara akan kekal rancak dengan pelaksanaan projek utama termasuk LRT Pulau Pinang, MRT3 dan Large-Scale Solar 6 (LSS6), dengan pelan pemodenan grid Tenaga Nasional Berhad (TNB) bernilai RM43 bilion dijangka terus menjadi pemacu utama dalam tempoh sederhana. – UTUSAN










