Mukadimah
MALAYSIA kini mempergiat usaha memperkukuh ekosistem kecerdasan buatan (AI) menerusi pelbagai inisiatif strategik, termasuk pelancaran BINA AI Malaysia dan penubuhan Pejabat AI Kebangsaan, bagi mempercepat transformasi digital serta meningkatkan daya saing ekonomi negara.
Langkah ini mencerminkan komitmen negara dalam mempercepatkan transformasi digital, merangsang inovasi serta meningkatkan daya saing ekonomi di peringkat serantau dan global.
Ikuti temubual, Wartawan Utusan Malaysia, ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI bersama Naib Presiden dan Pengurus Besar Serantau Lenovo Asia Pasifik Raya, MATT CODRINGTON yang berkongsi pandangan mengenai keutamaan yang perlu diberi perhatian untuk memastikan penggunaan AI mampu menjana nilai ekonomi jangka panjang, memperkukuh infrastruktur digital, mengamalkan tadbir urus yang bertanggungjawab serta meletakkan Malaysia sebagai antara peneraju AI di rantau Asia Pasifik.
UTUSAN: Malaysia telah melancarkan inisiatif utama seperti BINA AI Malaysia dan menubuhkan Pejabat AI Kebangsaan bagi mempercepat agenda AI negara. Apakah yang perlu diberi keutamaan bagi memastikan penggunaan AI memberikan nilai ekonomi jangka panjang?
MATT: Penggunaan AI di rantau Asia Pasifik telah meningkat lebih dua kali ganda berbanding tahun lalu. Kini, persoalannya bukan lagi sama ada perlu melabur dalam AI, tetapi bagaimana memastikan pelaburan itu menghasilkan impak yang boleh diukur dan berkekalan.
Berdasarkan pemerhatian kami, halangan utama untuk melaksanakan AI pada skala besar bukanlah akses kepada teknologi.
Di seluruh rantau ini, AI mampu menjana nilai ekonomi yang mampan apabila berpaksikan kepada tiga keutamaan utama, inovasi yang berpusatkan manusia bagi mengurangkan cabaran dalam proses penggunaan AI, pendekatan “privacy-by-design” atau privasi terbina sejak peringkat reka bentuk bagi memastikan AI beroperasi secara telus dan bertanggungjawab serta titik akses yang bersepadu merangkumi pelbagai peranti, faktor bentuk dan senario penggunaan.
Negara yang paling berjaya dalam memanfaatkan AI ialah negara yang membangunkan ketiga-tiga elemen ini secara serentak dan pada skala besar.
Mengapakah kuasa pengkomputeran, hibrid awan dan infrastruktur edge begitu penting dalam memperluaskan penggunaan AI di peringkat negara?
Kuasa pengkomputeran, hibrid awan dan infrastruktur edge merupakan asas kepada pembangunan AI pada skala nasional kerana ia membolehkan organisasi memproses data dengan pantas, cekap dan selamat.
Pendekatan hibrid membolehkan beban kerja AI ditempatkan di lokasi yang paling sesuai, sama ada di pusat data, awan yang berhampiran dengan sumber data. Ini meningkatkan prestasi, mengurangkan kependaman dan membolehkan keputusan dibuat dalam masa nyata.
Infrastruktur yang kukuh juga penting bagi menyokong aplikasi AI yang semakin kompleks, termasuk AI generatif dan AI berasaskan ejen, selain memastikan sistem dapat berkembang mengikut peningkatan permintaan.
AI yang bertanggungjawab dan beretika menjadi fokus dalam rangka kerja nasional Malaysia. Bagaimanakah organisasi boleh menerapkan ketelusan, tadbir urus dan kepercayaan dalam amalan?
AI yang bertanggungjawab bermula dengan kepercayaan. Ini bermakna organisasi perlu telus mengenai cara sistem AI direka bentuk, ditadbir dan digunakan, selain memastikan manusia kekal bertanggungjawab terhadap setiap keputusan yang dibuat.
Dalam amalan, ia memerlukan pembangunan sistem AI yang selamat, boleh dijelaskan dan berpusatkan manusia sejak dari awal lagi.
Di Lenovo, keselamatan, tadbir urus dan daya tahan dibina sebagai asas kepada setiap penyelesaian AI. Semua produk dan perkhidmatan AI dinilai oleh Majlis AI Bertanggungjawab Lenovo sebelum dilaksanakan berdasarkan aspek privasi, keselamatan, akauntabiliti, ketelusan, keterangkuman dan impak sosial.
Pendekatan ini memastikan AI dapat berkembang pada skala besar tanpa mengabaikan aspek kepercayaan dan perlindungan pengguna.
Dari perspektif serantau, bagaimana tahap kesiapsiagaan AI Malaysia berbanding negara lain di Asia Pasifik?
Setiap pasaran di Asia Pasifik berkembang pada kadar yang berbeza dan mempunyai keunikan tersendiri dalam pembangunan AI.
Bagi Lenovo, Malaysia merupakan antara pasaran utama kerana kekuatan sektor perindustriannya sangat selari dengan bidang yang mampu memperoleh manfaat terbesar daripada AI.
Dengan dasar kerajaan yang jelas serta pelaburan berterusan dalam infrastruktur dan pembangunan bakat digital, Malaysia berada pada kedudukan yang baik untuk mempercepat penggunaan AI dan meningkatkan daya saing serantau.
Sektor manakah yang mempunyai peluang terbesar untuk Malaysia menerajui penggunaan AI dan penciptaan nilai di peringkat serantau?
Sektor telekomunikasi, penjagaan kesihatan dan kerajaan menawarkan peluang terbesar untuk Malaysia memanfaatkan AI.
Sektor-sektor ini mengendalikan operasi yang kompleks dan berterusan, di mana keputusan perlu dibuat secara masa nyata merentasi pelbagai proses yang saling berkaitan.
Dalam persekitaran seperti ini, AI membolehkan sistem memantau, menganalisis dan bertindak secara autonomi dengan lebih pantas dan tepat.
Lenovo menyokong usaha ini melalui penyelesaian AI menyeluruh yang merangkumi peranti, infrastruktur, platform dan perkhidmatan bagi membantu organisasi pada setiap peringkat perjalanan transformasi AI, sekali gus mengukuhkan kedudukan Malaysia dalam rantaian nilai global.
Apabila AI menjadi semakin maju dan berasaskan ejen, bagaimana organisasi di Malaysia perlu bersedia untuk fasa penggunaan seterusnya?
AI generatif dan AI berasaskan ejen kini menjadi tumpuan utama organisasi.
Berdasarkan CIO Playbook Lenovo, 96 peratus organisasi merancang meningkatkan pelaburan dalam AI dalam tempoh 12 bulan akan datang kerana mereka menyedari kepentingan membina asas yang kukuh bagi mengendalikan model, platform, aplikasi dan ejen AI.
Dalam konteks ini, AI hibrid menjadi semakin penting kerana ia memberi fleksibiliti kepada organisasi untuk menempatkan beban kerja AI di lokasi yang paling sesuai, berhampiran sumber data dan tempat keputusan dibuat.
Malah, 84 peratus organisasi memilih gabungan penggunaan infrastruktur di premis sendiri dan edge sebagai sebahagian daripada persekitaran AI hibrid.
Bagi menghadapi fasa seterusnya, organisasi perlu melabur lebih awal dalam infrastruktur yang boleh diskalakan, membangunkan tadbir urus sejak awal serta melengkapkan tenaga kerja dengan kemahiran untuk bekerjasama dengan sistem AI yang semakin canggih.
Inilah asas kepada Lenovo Hybrid AI Advantage yang menggabungkan infrastruktur, platform dan perkhidmatan bagi membolehkan AI berasaskan ejen dilaksanakan secara selamat, pada skala besar dan dengan hasil perniagaan yang boleh diukur.
Apakah gambaran kejayaan agenda AI Malaysia dalam tempoh lima tahun akan datang?
Kejayaan bermaksud AI tidak lagi terhad kepada projek perintis atau penggunaan secara berasingan, sebaliknya menjadi sebahagian daripada operasi teras organisasi di semua sektor.
Dalam tempoh lima tahun akan datang, kejayaan akan diukur berdasarkan keupayaan negara untuk memperluaskan penggunaan AI secara konsisten, boleh dipercayai dan bertanggungjawab
Ini termasuk AI berjaya beralih daripada peringkat percubaan kepada pelaksanaan sebenar dalam operasi harian, organisasi memiliki keupayaan untuk melaksanakan dan mengurus AI merentasi persekitaran hibrid serta tadbir urus, prestasi dan keselamatan AI terus diperkukuh walaupun penggunaan AI semakin meluas.
Keutamaan ini selaras dengan aspirasi AI Nation 2030 Malaysia yang memberi penekanan kepada peluasan penggunaan AI, pengukuhan infrastruktur, pembangunan bakat serta pendekatan kepercayaan dibina sejak awal reka bentuk bagi memastikan AI menyumbang kepada peningkatan produktiviti dan daya tahan ekonomi negara secara mampan. – UTUSAN










