BERMULA secara kecil-kecilan dengan modal RM2,000, pengasas MJ Nur Gemilang, Asrul Effendi Abdul Aziz berjaya mengembangkan perniagaan Kuih Bakar Pandan jenama Dak Serul sehingga meraih pendapatan mencecah RM20,000 sebulan.
Kejayaan itu membuktikan perniagaan berasaskan makanan tradisional masih berpotensi besar untuk berkembang, sekali gus mendapat tempat dalam kalangan pengguna.
Anak jati Kampung Pulau, Masjid Tanah itu berkata, minat terhadap makanan tradisional serta hasrat membantu meningkatkan ekonomi keluarga menjadi pemangkin utama beliau menceburi bidang keusahawanan.
“Pada awalnya saya menjalankan perniagaan ini secara kecil-kecilan sebelum mengembangkannya sedikit demi sedikit.
“Saya percaya Kuih Bakar Pandan mempunyai nilai tersendiri dan mampu diterima oleh semua lapisan masyarakat jika kualitinya sentiasa dijaga,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Selepas memperoleh pensijilan halal pada 2022, produk Kuih Bakar Pandan dan Kuih Bakar Berlauk jenama itu menerima sambutan lebih memberangsangkan sehingga membolehkan syarikat mengembangkan operasi kepada dua cawangan.
Syarikat itu beroperasi di Kampung Pulau, Masjid Tanah, Melaka yang juga merupakan ibu pejabat dan kini mempunyai dua cawangan, masing-masing di Jalan Kasban, Meru, Klang, Selangor serta Wangsa Maju Seksyen 1, Kuala Lumpur.
Menurut beliau, antara cabaran terbesar ketika memulakan perniagaan ialah membina kepercayaan pelanggan selain memperkenalkan jenama Dak Serul dalam pasaran yang semakin kompetitif.
“Bagaimanapun, saya berjaya atasi cabaran ini dengan memastikan setiap produk yang dihasilkan mengekalkan standard kualiti.
“Saya juga akan memastikan untuk memberikan layanan terbaik kepada pelanggan serta memperhebatkan promosi melalui platform digital.
“Saya percaya kepercayaan pelanggan perlu dibina secara konsisten. Sebab itu kami sentiasa menitikberatkan kualiti produk dan hubungan baik dengan pelanggan,” ujarnya.
Asrul berkata, sokongan keluarga menjadi antara faktor penting yang membantu kelangsungan perniagaan sejak hari pertama beroperasi.
“Ahli keluarga bukan sahaja membantu dalam urusan operasi harian, malah sentiasa memberikan dorongan untuk beliau terus mengembangkan perniagaan.
“Selain keluarga, pelanggan dan komuniti setempat juga banyak membantu memperkenalkan produk kami kepada lebih ramai pengguna,” katanya.
Beliau berkata, setiap keuntungan yang diperoleh sejak awal perniagaan digunakan semula sebagai modal pusingan bagi mengembangkan operasi secara berperingkat tanpa bergantung kepada pembiayaan yang besar.
Mengulas mengenai perubahan landskap perniagaan, Asrul mengakui penggunaan media sosial kini menjadi faktor penting dalam meningkatkan daya saing perusahaan kecil dan sederhana.
Katanya, Dak Serul kini aktif memanfaatkan Facebook, TikTok dan Instagram sebagai medium pemasaran serta saluran berinteraksi dengan pelanggan.
“Media sosial memberi impak yang sangat besar kepada perniagaan kami.
“Dianggarkan sekitar 60 hingga 70 peratus tempahan diterima melalui platform digital, sekali gus membantu meningkatkan jualan setiap bulan,” katanya.
Beliau turut menitipkan pesanan kepada golongan muda yang berhasrat menceburi bidang keusahawanan supaya tidak gentar memulakan perniagaan walaupun dengan modal yang kecil.
“Jangan takut untuk bermula. Sentiasa belajar, berdisiplin, jaga kualiti produk dan manfaatkan media sosial sebaik mungkin.
“Yang paling penting, jangan mudah berputus asa apabila berdepan cabaran kerana setiap kejayaan memerlukan kesabaran dan usaha yang berterusan,” katanya. – UTUSAN










