Ketidaktentuan tarikh PRU16 dijangka tekan pasaran ekuiti

Ketidaktentuan tarikh PRU16 dijangka tekan pasaran ekuiti

MALACCA Securities mengekalkan pandangan berhati-hati terhadap sentimen pasaran saham tempatan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pasaran ekuiti tempatan diunjur berdepan cabaran dalam tempoh terdekat ekoran ketidaktentuan tarikh Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) yang dibimbangi memberi tekanan kepada aliran dana asing.

Malacca Securities menge­kalkan pandangan berhati-hati terhadap sentimen pasaran ke­rana menyifatkannya sebagai fasa yang mencetuskan kebisingan jangka pendek dengan jumlah pengeluaran bersih pelabur asing setakat ini mencecah RM6.19 bilion bagi tempoh enam bulan pertama 2026.

“Bagaimanapun, kami memberi amaran bahawa kitaran politik lazimnya mencetuskan turun naik pasaran, dengan risiko jangka pendek berpunca daripada spekulasi tarikh pilihan raya yang dijangka berlaku sama ada pada akhir tahun ini atau pada 2027,” katanya dalam nota penyelidikan.

Menurut Malacca Securities, pelabur asing merekodkan pengeluaran bersih sebanyak RM5.12 bilion pada suku kedua 2026, berbalik daripada aliran masuk sebanyak RM1.07 bilion pada suku pertama 2026.

Sebaliknya, tonggak struktur utama termasuk Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030 kitaran super kecerdasan buatan (AI) serta pembangunan pusat data mencatatkan daya tahan di bawah unjuran jangka panjang kerana melibatkan pelan berbilang tahun yang tidak bersifat partisan.

“Bagi sektor pasaran modal, penurunan marginal 1.6 peratus Indeks FTSE KLCI Bursa Malaysia (FBM KLCI) yang jatuh di bawah paras psikologi 1,700 mata menjadi faktor utama kepada pembetulan jangka pendek tersebut,” katanya.

Di sebalik perkembangan itu, firma penyelidikan tersebut mengulangi saranan fokus terhadap pendapatan syarikat dengan pelabur institusi domestik didapati kekal menyokong bagi membantu menstabilkan keada­an pasaran negara.

Firma itu menjangkakan pres­tasi sektor berorientasikan eksport khususnya teknologi akan kekal tinggi disokong oleh peralihan industri semikonduktor Malaysia ke rantaian nilai yang lebih tinggi.

Dalam pada itu, andaian nilai ringgit berbanding dolar AS dijangka mengalami turun naik dalam julat RM4.06 hingga RM4.15 sebelum mula stabil memasuki fasa jangka sederhana tahun ini.

Malacca Securities berpendapat perbezaan kadar faedah terus menjadi faktor utama yang mempengaruhi kelemahan mata wang tempatan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN