TAMPIN: Seorang bapa membuat keputusan untuk turut sama mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sebagai sokongan dan motivasi buat anaknya yang menduduki peperiksaan itu tahun ini.
Lim Siong Fui, 57, dari Gemas di sini memberitahu, dia mengambil dua mata pelajaran untuk peperiksaan SPM iaitu matematik dan matematik tambahan.
Guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tuanku Abdul Rahman, Gemas itu berkata, keputusan itu dibuat selepas dia berjanji kepada anak bongsunya, Lim Yi Hen, 17, sejak remaja itu berada di tingkatan dua bahawa mereka akan mengambil peperiksaan tersebut bersama-sama.
Katanya, sebagai persediaan menghadapi peperiksaan, mereka sering mengulang kaji bersama bagi kedua-dua mata pelajaran berkenaan.
“Selepas hampir 40 tahun, saya menyahut cabaran untuk menduduki semula SPM bagi dua subjek berkenaan. Anak saya pandai Matematik dan saya juga yakin untuk mengambil subjek itu.
“Silibus sekarang sudah berbeza, jadi kami berbincang cara menjawab soalan. Selain memberi semangat kepada anak, kami juga dapat bersaing secara sihat,” katanya.
Siong Fui berkata, dia akan menduduki peperiksaan dua mata pelajaran itu di SMK Gemas di sini.
“Saya tidK janggal atau malu untuk mengambil SPM pada usia 57 tahun. Sebenarnya ada kuga pengetua sekolah yang ambil SPM subjek matematik setiap tahun.
“Bagi saya ini soal memberi keyakinan, menunjukkan contoh dan membuktikan bahawa usaha dan menuntut ilmu tidak mengenal usia” katanya. – UTUSAN










