Ribuan mangsa dipindahkan, 29 sekolah jalani PdPR

Banjir: Ribuan mangsa dipindahkan, 29 sekolah jalani PdPR

PEMANDANGAN dari udara keadaan banjir di Arau, Perlis semalam.-UTUSAN/SAIFUL NIZAM SUKUR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Situasi banjir di Pantai Timur semakin membimbangkan apabila paras air Sungai Golok di Rantau Panjang, Kelantan melepasi bacaan paras bahaya 8.80 meter susulan hujan lebat sejak kelmarin.

Limpahan air menyebabkan beberapa buah kampung berhampiran Sungai Golok, terma­suk Kampung Lanchang, Tersang dan kawasan sekitarnya dinaiki air.

Sekretariat Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kelantan memaklumkan setakat pukul 3 petang semalam, seramai 9,720 mangsa dari empat buah daerah sedang berlindung di 40 pusat pemindahan sementara (PPS).

Di Perlis, keadaan banjir juga semakin serius apabila jumlah mangsa dipindahkan ke PPS meningkat kepada 3,501 orang daripada 1,018 keluarga.

Mereka ditempatkan di 16 PPS di tiga kawasan utama iaitu Padang Besar, Kangar dan Arau. Hujan lebat sejak semalam turut menyebabkan Kampung Ulu Su­ngai, Batu Talam menjadi lokasi pertama dilanda banjir, membabitkan 22 mangsa daripada 10 keluarga dipindahkan ke PPS.

Di Kedah, banjir di daerah Kubang Pasu semakin buruk dengan bilangan penduduk diarahkan berpindah melonjak kepada 1,361 orang berbanding hanya 263 mangsa sebelum ini dengan keseluruhan mangsa mencapai 1,632 orang daripada 525 keluarga di dua daerah terjejas. Sekretariat

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Kedah memaklumkan kesemua mangsa ditempatkan di 10 PPS yang diaktifkan.

Di Selangor, seramai 2,784 mangsa banjir ditempatkan di 21 PPS di lima daerah terjejas iaitu Sabak Bernam, Kuala Sela­ngor, Hulu Langat, Petaling dan Klang.

Di Perlis, limpahan air dari utara negeri dan hujan berterusan menyebabkan air naik mendadak, menenggelami jalan raya di pekan Kangar hingga Taman Sena dan Repoh, termasuk rumah penduduk, premis pejabat, sekolah serta hospital. Kali terakhir Kangar dilanda banjir besar adalah pada 2010, dianggap antara bencana paling buruk di negeri ini.

Jumlah mangsa yang dipindahkan ke PPS kini melebihi 4,000 orang dan di­jangka terus meningkat dengan 29 sekolah terjejas dan terpaksa melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR), membabitkan 18 sekolah rendah dan 11 sekolah menengah.

Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, banjir kali ini agak teruk dan banyak mangsa terpaksa berpindah secara tiba-tiba.

ADUN Guar Sanji, Mohd. Ridzuan Hashim pula berkata, paras air di kawasan Guar Sanji mencecah pinggang, memaksa penduduk di Kampung Titi Besi, Paloh, Jelempok dan sekitarnya dipindahkan ke PPS Universiti Teknologi Mara (UiTM) Arau.

Seorang mangsa dari Batas Liku, Osman Kassim, 37, berkata rumahnya dinaiki air sehingga paras dada sebelum membuat keputusan berpindah ke PPS.

“Air naik mendadak pada se­belah malam dan sehingga kini keadaan banjir semakin teruk, manakala hujan masih turun,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN