11 sekolah terjejas ribut di Kedah

11 sekolah terjejas ribut di Kedah

KEADAAN di pekarangan MRSM Pendang yang mengalami kerosakan akibat ribut dalam kejadian semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENDANG: Sebanyak 11 sekolah di tiga daerah terjejas akibat ribut petang semalam dengan Pendang mencatatkan kesan paling teruk melibatkan enam sekolah.

Pengarah Pendidikan Negeri (JPN) Kedah, Abdul Rahim Mat berkata, selain itu empat sekolah turut terjejas di Kulim Bandar Baharu dan sebuah di Kota Setar dalam kejadian pukul 4.30 hingga 6 petang itu.

Beliau berkata, tinjauan mendapati kerosakan yang berlaku melibatkan harta benda tanpa sebarang kemalangan jiwa.

“Bagaimanapun, tindakan awal diambil Jabatan Pendidikan Negeri, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) serta pihak sekolah termasuk pengetua dan guru besar bagi mengenal pasti kerosakan dan melaksanakan pembaikan segera. 

“Kita juga berusaha memastikan urusan bantuan dapat diproses dengan segera supaya murid dapat kembali meneruskan pembelajaran seperti biasa dalam tempoh terdekat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika meninjau keadaan di Akademi Sains Pendang, di sini yang terjejas teruk khususnya di asrama putera yang mengalami kerosakan bumbung akibat ribut kuat.

Katanya, selain Akademi Sains Pendang dua sekolah lain di sini turut terjejas teruk iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Hj Mohamad Arif dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Air Puteh Dalam.

“Kerosakan di SK Hj Mohamaf Arif agak serius dan pelajar Prasekolah dan Tahap Satu seramai 600 murid dibenarkan menjalani Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) bermula hari ini hingga Khamis,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan MARA, Shahrizal Mohd. Saderi berkata, seramai 582 pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Pendang dibenarkan pulang ke rumah dan menjalani sesi PdPR pada esok dan Khamis sebelum dijangka kembali ke asrama pada Ahad.

“Kejadian ribut yang berlaku petang semalam menyebabkan beberapa struktur bangunan antaranya bumbung diterbangkan tetapi apa yang penting tiada pelajar yang tercedera dalam kejadian ini.

“Keadaan sekarang terkawal dan kerja-kerja untuk menilai kerosakan yang berlaku sedang dibuat. Peruntukan khas akan diberikan dan kita mengenal pasti kontraktor yang berupaya untuk menjalankan kerja-kerja pembaikan dengan segera,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya mendapatkan kelulusan bagi peruntukan darurat yang dianggarkan membabitkan kos kira-kira RM1.5 juta. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN