Banjir di Terengganu buruk, mangsa meningkat kepada 3,849

Banjir di Terengganu buruk, mangsa meningkat kepada 3,849 orang

KEADAAN banjir di beberapa kawasan penempatan penduduk yang terjejas akibat hujan lebat di Kampung Tok Dir, Marang, Terengganu. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Situasi banjir di negeri ini semakin buruk dengan 3,849 mangsa daripada 1,207 keluarga dipindahkan ke 52 pusat pemindahan sementara (PPS) di tujuh daerah, setakat pukul 4.30 petang ini.

Jumlah itu meningkat lebih 300 mangsa berbanding 3,500 orang dipindahkan pagi ini.

Infobencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memaklumkan, Marang kekal merekodkan mangsa banjir paling ramai dipindahkan iaitu 1,560 orang yang berlindung di sembilan PPS diikuti Setiu melibatkan 1,085 mangsa daripada 394 keluarga.

Banjir turut menjejaskan daerah Besut (197 mangsa, enam PPS), Kuala Terengganu (180 mangsa, sebuah PPS), Dungun (149 mangsa, lima PPS) dan Hulu Terengganu sejumlah 107 mangsa yang berlindung di tiga PPS.

Jumlah mangsa banjir dijangka bertambah berikutan keadaan cuaca yang masih buruk.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) turut mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap di seluruh Semenanjung termasuk di Terengganu yang diramal sehingga Sabtu ini.

MetMalaysia memaklumkan, jangkaan itu susulan ribut tropika yang dijangka bergerak ke arah Timur Tenggara dengan kelajuan 24 kilometer per jam (km/j) dan boleh mencapai kelajuan angin maksimum sehingga 56 km/j.

Keadaan ini boleh menyebabkan hujan lebat berterusan, angin kencang dan laut bergelora di Semenanjung Malaysia.

Orang ramai dinasihatkan bersiap sedia menghadapi episod hujan lebat Monsun Timur Laut (MTL) dengan sentiasa peka kepada maklumat, nasihat, ramalan dan amaran cuaca yang dikeluarkan oleh MetMalaysia melalui laman web www.met.gov.my, aplikasi myCuaca, media sosial rasmi dan talian hotline MetMalaysia 1-300-22-1638. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN