Israel lulus RUU benarkan penduduk haram beli tanah di Tebing Barat - Utusan Malaysia

Israel lulus RUU benarkan penduduk haram beli tanah di Tebing Barat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEL AVIV: Jawatankuasa Hal Ehwal Luar Negeri dan Pertahanan Knesset pada Selasa meluluskan rang undang-undang yang membolehkan rakyat Israel membeli tanah secara langsung di wilayah Palestin yang diduduki di Tebing Barat.

Langkah itu mencetuskan kebimbangan dalam kalangan kumpulan hak asasi manusia, yang menyifatkannya sebagai perubahan dasar besar yang boleh membuka laluan kepada pengambilalihan de facto sebahagian besar wilayah tersebut.

Mereka bimbang pemilikan tanah secara persendirian oleh peneroka akan dijadikan alat politik untuk mewujudkan fakta baharu di lapangan.

Dalam satu kenyataan, pejabat media Knesset berkata, Jawatankuasa Hal Ehwal Luar Negeri dan Pertahanan yang dipengerusikan Boaz Bismuth meluluskan cadangan undang-undang ‘Menamatkan Diskriminasi’ dalam pembelian hartanah di Judea dan Samaria, merujuk kepada nama kitabiah bagi Tebing Barat.

Menurut kenyataan itu lagi, empat ahli Knesset menyokong rang undang-undang tersebut tanpa sebarang bantahan.

Rang undang-undang berkenaan kini perlu melalui tiga bacaan di pleno Knesset sebelum boleh digazetkan sebagai undang-undang. Setakat ini, tarikh bagi bacaan pertama masih belum diumumkan.

Jika diluluskan, undang-undang baharu itu akan memansuhkan undang-undang Jordan mengenai penyewaan dan penjualan hartanah kepada warga asing yang telah berkuat kuasa di Tebing Barat sejak 1953.

Undang-undang tersebut menghalang bukan rakyat Jordan, bukan rakyat Palestin serta bukan warga Arab daripada memiliki tanah di wilayah itu. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×