SYDNEY: Sebuah kumpulan hak internet memfailkan cabaran di mahkamah bagi menghalang undang-undang pertama seumpamanya di dunia yang akan melarang golongan bawah 16 tahun daripada menggunakan media sosial di Australia.
Mulai 10 Disember, Australia akan mengarahkan platform seperti Facebook, Instagram dan TikTok untuk memadam akaun semua pengguna di bawah umur 16 tahun atau berdepan denda yang besar.
Kumpulan Projek Kebebasan Digital berkata, pihaknya mengemukakan cabaran undang-undang itu di Mahkamah Tinggi Australia, dengan berhujah ia merupakan satu serangan tidak adil terhadap kebebasan bersuara.
“Larangan ini adalah satu serangan langsung terhadap hak golongan muda untuk kebebasan berkomunikasi secara politik,” kata Digital Freedom Project dalam satu kenyataan.
Kumpulan itu berkata, pihaknya memfailkan kes mahkamah tersebut bersama dua orang remaja berusia 15 tahun bagi mewakili jutaan orang muda Australia yang akan kehilangan akses mereka kepada ‘ruang awam moden untuk komunikasi dan perbincangan’.
“Kami adalah generasi asli digital sebenar dan kami mahu terus berpendidikan, berdaya tahan dan cekap dalam dunia digital kami.
“Kami kecewa dengan kerajaan yang ‘malas’ kerana mengenakan larangan menyeluruh ke atas golongan bawah 16 tahun, bukannya melabur dalam program untuk membantu kanak-kanak kekal selamat di media sosial,” kata seorang plaintif, Noah Jones.
Ramai berminat untuk melihat sama ada sekatan menyeluruh Australia ini mampu berfungsi, ketika pengawal selia di seluruh dunia bergelut menangani bahaya media sosial.
Menteri Komunikasi Australia, Anika Wells berkata, kerajaan tidak akan berundur daripada keputusan itu.
“Kami tidak akan gentar dengan ancaman. Kami tidak akan gentar dengan cabaran undang-undang. Kami tidak akan gentar dengan syarikat teknologi besar,” kata Wells kepada Parlimen pada hari Rabu.
Ratusan ribu remaja dijangka terkesan, dengan Instagram sahaja melaporkan kira-kira 350,000 pengguna di Australia berumur antara 13 hingga 15 tahun.
Meta, syarikat induk Facebook, sudah mula menyahaktifkan akaun berdasarkan maklumat seperti umur yang diberikan semasa akaun tersebut dicipta.
Facebook, Instagram, Snapchat dan TikTok termasuk dalam larangan itu, begitu juga dengan platform penstriman seperti Kick dan Twitch.
Aplikasi dan laman web popular lain seperti Roblox, Pinterest dan WhatsApp buat masa ini dikecualikan namun senarai itu masih dalam semakan.
Platform media sosial berdepan risiko denda sehingga AS$32 juta (RM132 juta) jika gagal mengambil langkah munasabah untuk mematuhi larangan itu yang merupakan antara paling ketat di dunia.
Tetapi sesetengah pakar bimbang undang-undang tersebut sekadar bersifat simbolik kerana kesukaran untuk melaksanakan dan menguatkuasakan pengesahan umur secara dalam talian.-AFP











