TEHERAN: Pihak berkuasa Iran mengenakan larangan sementara terhadap akses orang awam ke kebanyakan kawasan hutan di negara itu susulan usaha memadamkan kebakaran yang sedang marak di sebuah kawasan hutan yang diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO, lapor media tempatan.
Kebakaran di hutan Hyrcanian di utara Iran yang bermula pada 1 November, berjaya dikawal dalam tempoh beberapa hari.
Namun api kembali marak pada 15 November berikutan tiupan angin kencang dan kemarau luar biasa yang melanda negara itu, menurut laporan media Iran.
“Kami telah memaklumkan kepada semua wilayah untuk melarang kemasukan ke kawasan hutan di luar zon perlindungan dan taman negara sehingga hujan musim luruh turun bagi mengelakkan kejadian serupa berulang,” kata Komander Unit Perlindungan Hutan, Majid Zakariaei, kepada agensi berita Mehr.
Iran turut meminta bantuan luar bagi menangani kebakaran yang sedang memusnahkan hutan Hyrcanian, yang berkeluasan sejauh 1,000 kilometer sepanjang pesisir Laut Kaspia dan lereng utara Pergunungan Alborz sehingga ke Azerbaijan.
Hutan purba itu diwartakan sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO pada 2019, menjadi habitat kepada harimau bintang Parsi yang terancam, beruang coklat serta beberapa spesies pemangsa besar lain.
Kebakaran ini berlaku ketika Iran berdepan salah satu kemarau paling buruk sejak rekod bermula enam dekad lalu.
Walaupun api dilaporkan hampir sepenuhnya dikawal pada Selasa, operasi pemadaman masih diteruskan bagi memastikan ia benar-benar dipadamkan, menurut media tempatan.










