Sheikh Hasina dihukum penjara 21 tahun bagi kesalahan rasuah - Utusan Malaysia

Sheikh Hasina dihukum penjara 21 tahun bagi kesalahan rasuah

SHEIKH HASINA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DHAKA: Bekas Perdana Menteri Bangladesh, Sheikh Hasina, dikenakan hukuman penjara 21 tahun oleh sebuah mahkamah di Dhaka pada Khamis selepas bersalah dalam tiga kes rasuah.

Hukuman itu diputuskan seminggu selepas menerima hukuman mati bagi kesalahan jenayah terhadap kemanusiaan.

Hasina, 78, kini berada di India dan enggan mematuhi arahan mahkamah supaya pulang ke Bangladesh.

Beliau sebelum ini dihukum gantung pada 17 November lalu selepas didapati mengarahkan tindakan keras terhadap kebangkitan pelajar tahun lalu yang akhirnya menjatuhkan pemerintahannya.

Mahkamah mendapati Hasina menyalahgunakan kuasa untuk merampas beberapa lot tanah bernilai tinggi di pinggir Dhaka.

Hakim Abdullah Al Mamun berkata tindakan beliau menunjukkan “mindset rasuah yang berterusan, berakar daripada rasa berhak, kuasa tanpa kawalan serta ketamakan terhadap harta awam”.

Dua anak Hasina yang menetap di Amerika Syarikat iaitu Sajeeb Wazed dan Saima Wazed, seorang pegawai kanan PBB turut dijatuhi hukuman lima tahun penjara setiap seorang.

Hasina melarikan diri dari Bangladesh pada 5 Ogos 2024 menaiki helikopter selepas beberapa minggu protes pelajar terhadap pemerintahannya yang dianggap autokratik.

Pendakwa raya awam, Khan Moinul Hasan, berkata pihaknya akan membuat rayuan kerana percaya hukuman lebih berat wajar dikenakan.

Negara itu terus bergolak sejak kejatuhan Hasina, manakala keganasan politik turut mencemari kempen pilihan raya yang dijadual berlangsung pada Februari 2026.

Hasina menolak semua tuduhan, menegaskan hukuman terhadapnya “berat sebelah dan bermotif politik”.

Beliau kini masih berdepan tiga lagi kes rasuah, melibatkan kakaknya Sheikh Rehana dan anak-anaknya termasuk Ahli Parlimen Britain, Tulip Siddiq.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×