PETALING JAYA: Hujan lebat berterusan sejak semalam menyebabkan peningkatan air mendadak di beberapa kawasan sekitar Hat Yai, Thailand sehingga mengakibatkan ramai rakyat Malaysia tidak dapat meneruskan perjalanan dan terkandas di bandar itu serta di kawasan sempadan seperti Danok dan Bukit Kayu Hitam.
Situasi itu turut memaksa ramai pelancong dan pemandu menunggu berjam-jam selepas pihak berkuasa Thailand mengehadkan kemasukan kenderaan sebagai langkah keselamatan, berikutan beberapa laluan utama menuju ke pusat bandar tidak lagi boleh dilalui akibat ditenggelami air.
Rakyat Malaysia, Muhammad Hazwan Zammizi, 29, berkata, dia bersama keluarga pada awalnya merancang menginap semalaman, sebelum pulang hari ini, namun terpaksa kekal di hotel selepas air naik dengan pantas.
“Kami berada di Lee Gardens Plaza Hotel ketika air naik sehingga paras lutut. Tidak lama kemudian, pihak hotel menghubungi kami supaya mengalihkan kenderaan ke kawasan lebih tinggi. Sekarang air sudah mencecah paras pinggang.
“Kami hanya dapat maklumat daripada pihak hotel. Ketika ini kami tidak ke mana-mana kerana dikhuatiri bekalan elektrik akan terputus,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Sementara itu, menerusi perkongsian di Threads, pengguna, Symaania merayu keadaan di Hat Yai disebarkan kepada pengetahuan Kerajaan Malaysia supaya bantuan dapat segera disalurkan.
“Kami di sini sudah terputus bekalan elektrik. Hanya mengharapkan talian telefon. Mohon bantuan Kerajaan Malaysia membantu kami yang terkandas. Keadaan semakin bahaya. Tiada bantuan tiba sejak tengah malam tadi,” katanya.
Seorang lagi pengguna, Nur Atiqah turut berkongsi bahawa kawasan hotel tempat dia dan keluarganya menginap dinaiki air.
“Hat Yai hujan tak berhenti sejak kelmarin hingga hari ini. Kawasan hotel semua sudah naik air. Doakan kami sekeluarga selamat.
“Kepada sesiapa yang merancang untuk ke Hat Yai, lebih baik tangguh dahulu. Kami sekeluarga terkandas dalam hotel kerana banjir. Nak ke mana pun tak boleh,” katanya.
Beberapa kawasan tumpuan rakyat Malaysia di Hat Yai dinaiki air sejak malam tadi berikutan hujan lebat berterusan di wilayah Songkhla sejak dua hari lalu.
Antara lokasi terkesan ialah kawasan sekitar Kim Yong Market, Lee Garden Plaza serta jajaran jalan utama menuju ke Central Hat Yai yang sering menjadi persinggahan pelancong dari Malaysia. – UTUSAN










