TAWAU: Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan keyakinan mampu meraih kemenangan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Sabtu ini.
Perdana Menteri berkata, keyakinan itu bersandarkan sambutan rakyat sepanjang siri jelajah dan program yang dihadirinya di negeri itu.
“Insya-Allah, sambutan baik dan kita harap kemenangan yang bergaya,” katanya ringkas ketika ditemui media selepas berucap di Program Ceramah PMX Sayang Sabah di Dewan Terbuka Merotai, malam semalam.
Anwar berkata, kerajaan juga tidak kompromi dalam sebarang isu salah laku dan menekankan bahawa siasatan mesti dijalankan tanpa pengecualian walaupun terhadap pegawai sendiri.
Beliau berkata, pentadbirannya tidak melindungi mana-mana individu yang didakwa terlibat dalam salah guna kuasa dan prinsip tersebut menjadi teras kepemimpinannya.
“Saya tak kata kita ini sempurna, tetapi kalau ada masalah, mesti kita tegas. Dalam Kerajaan Madani, tidak ada cover up (tutup). Kalau pegawai saya sendiri salah, tetap disiasat. Saya tak peduli siapa,” katanya ketika berucap pada program itu.
Anwar berkata, beliau telah memaklumkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada semalam, mengenai dakwaan terhadap seorang bekas setiausaha politik.
“Saya terus kata kepada pihak SPRM siasat. Jangan lindung sesiapa. Kita ikut undang-undang dan peraturan, siasat dahulu, jangan terus hukum,” katanya.
Anwar berkata, kuasa dalam kerajaan bukan alat untuk kepentingan peribadi atau kroni dan budaya menutup salah laku adalah punca negara kehilangan kepercayaan rakyat.
“Kalau ada salah guna kuasa Tan Sri, Datuk, pegawai saya sekalipun, kalau salah tetap mesti disiasat. Kalau salah, mesti ditangkap. Baru negara ini selamat,” katanya.
Mengenai pilihan raya Sabah, Anwar menjelaskan bahawa Pakatan Harapan (PH) bertanding bukan kerana mahu merebut jawatan Ketua Menteri, tetapi untuk memastikan projek pembangunan, urus tadbir dan kerjasama Persekutuan dan negeri berjalan lancar.
“Kita mahu pastikan mesej Pusat sampai, projek jalan lancar, tadbir urus negeri lebih baik. Saya tak mahu janji bulan dan bintang. Pilih keputusan yang bijak,” katanya.
Anwar turut menyeru pengundi Merotai menilai rekod kerja serta ketelusan calon, termasuk calon PH Merotai, Datuk Ruji Ubi yang disifatkannya berpengalaman luas di peringkat nasional.
Katanya, Sabah tidak boleh lagi ketinggalan puluhan tahun daripada aspek pembangunan asas.
Pada masa sama, Anwar menggesa rakyat Sabah menolak pemimpin yang membolot kekayaan negeri sambil menindas golongan miskin pada PRN kali ini.
Beliau berkata, tindakan itu penting bagi memastikan keharmonian serta masa depan rakyat Sabah terutamanya golongan muda terus terpelihara.
“Saya mahu rakyat bangkit di Sabah ini. Tentukan masa depan kita, terutama anak-anak muda. Ini masa hadapan anda dan masa hadapan anda perlu ditentukan anda sendiri.
“Bukan oleh ahli politik yang terdesak atau sesetengah ahli akademi, marah terus, bising terus tapi tak peduli fakta, tanam kebencian, yang untung orang kaya di atas, yang susah orang miskin di bawah,” katanya dalam Temu Rapat Pimpinan Masyarakat Tempatan dan Sahabat Usahawan Tuaran di Pusat Kebudayaan Persatuan Rumpun Bajau Sama Sabah, di sini semalam. – UTUSAN









