PUTRAJAYA: Ahli perniagaan, Albert Tei ditahan reman selama enam hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 16 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia ($PRM) 2009.
Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Fatin Muneerah Sofian di Mahkamah Majistret Putrajaya di sini bermula hari ini hingga Jumaat depan.
Seksyen 16 Akta SPRM 2009 adalah mengenai kesalahan menawarkan atau memberi suapan kepada pegawai awam.
Perkara itu disahkan peguam Tei, Mahajoth Singh ketika ditemui di sini, sebentar tadi.
Terdahulu, Tei bersama bekas Setiauasaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin tiba di Kompleks Mahkamah Putrajaya di sini sekitar pukul 9 pagi tadi bagi mendapatkan permohonan reman.
Kedua-dua mereka berpakaian lokap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tiba kira-kira pukul 9 pagi sambil diiringi pegawai SPRM selain tangan bergari.
Sementara itu, Mahajoth ketika ditemui berkata, beliau menafikan anak guamnya tidak mahu memberi kerjasama kepada siasatan SPRM berhubung kes rasuah yang disiasat.
“Anak guam saya telah bersetuju untuk hadir ke Ibu Pejabat SPRM bagi memberi keterangan berhubung kes itu pada Isnin ini,” katanya.
Malah, katanya, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki juga telah mengeluarkan kenyataan akhbar mengenai perkara itu sebelum ini. – UTUSAN










