Afgan tidak lepas tasbih digital lepas pulang haji, hidup lebih tenang - Utusan Malaysia

Afgan tidak lepas tasbih digital lepas pulang haji, hidup lebih tenang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sejak menunaikan ibadah haji pada Jun lalu, penyanyi terkenal Indonesia, Afgan, mengakui tidak pernah meninggalkan amalan berzikir yang kini menjadi sebahagian daripada rutin hariannya.

Afgan atau Afgan Syahreza, 36, sering dilihat mengenakan tasbih digital berwarna hijau yang dipakai di jari kanannya.

Menurut penyanyi lagu Kacamata itu, amalan tersebut mula sebati dalam dirinya selepas menunaikan ibadah haji dan memberi kesan positif terhadap ketenangan jiwa, khususnya ketika berhadapan khalayak ramai.

“Saya tidak pernah menggunakan tasbih digital sebelum menunaikan haji.

“Setiap kali berasa sedikit cemas, sama ada ketika bertemu orang ramai atau dalam situasi tertentu, saya akan berzikir.

“Mungkin ini sudah menjadi kebiasaan sejak berada di Tanah Suci. Di sana saya sentiasa membawa tasbih, jadi sehingga kini saya masih selesa menggunakannya,” katanya.

Afgan ditemui pada sidang media Afgan Retrospektif Showcase yang berlangsung di Dadi Cinema, Pavilion Kuala Lumpur, pada Jumaat.

Berkongsi tentang perubahan terbesar selepas menyempurnakan rukun Islam kelima itu, penyanyi itu mengakui kehidupannya kini jauh lebih tenang dan mendekatkan dirinya kepada Allah.

“Pastinya saya kini lebih dekat dengan Allah. Saya lebih banyak berserah dan bertawakal dalam menjalani kehidupan.

“Rasanya hidup saya lebih ringan dan tenang sekarang,” ujarnya.

Dalam pada itu, Afgan turut mengumumkan bakal mengadakan persembahan istimewa, Afgan Retrospektif Showcase pada 5 Disember 2025 di Zepp Kuala Lumpur, menampilkan rangkaian lagu popular serta karya baharu daripada album terkininya, Retrospektif.

“Alhamdulillah, kalau dihitung saya sudah mempunyai lebih 50 lagu.

“Memandangkan saya sering mengadakan konsert di Malaysia, saya tahu citarasa peminat di sini.

“Selain lagu baharu, saya juga akan menyanyikan beberapa lagu hits istimewa buat mereka. Kuala Lumpur akan menjadi destinasi pertama saya mempersembahkan lagu-lagu dalam album terbaru ini,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN