Aduan kenaikan harga bot laju Menumbok-Labuan disiasat

Aduan kenaikan harga bot laju Menumbok-Labuan disiasat

ZALIHA MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Aduan mengenai kenaikan tambang bot laju antara Menumbok, Sabah dan Labuan daripada RM9.50 kepada RM12.50 yang didakwa tidak munasabah kini disiasat.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr. Zaliha Mustafa berkata, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) melalui Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) telah diarahkan untuk menyiasat sama ada terdapat unsur pelanggaran persaingan sihat atau penetapan harga yang tidak wajar oleh pengusaha bot laju berkenaan.

“Maklumat awal menunjukkan pengusaha bot laju ini turut menerima subsidi petrol daripada kerajaan justeru kenaikan tambang ini adalah tidak wajar dan akan disiasat secara terperinci,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Puah Wee Tse (PH–Tebrau) pada sesi Pertanyaan-pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Menurutnya, kenaikan sebanyak RM3 itu akan membebankan pengguna terutama mereka yang berulang-alik setiap hari antara Menumbok dan Labuan untuk bekerja, kerana peningkatan kos tersebut memberi kesan langsung terhadap pendapatan isi rumah.

“Caj tambahan (surcharge) yang dikenakan ini turut menjadi tumpuan siasatan bagi memastikan tiada pihak mengambil kesempatan terhadap pengguna,” katanya.

Jelasnya, pihaknya dan KPDN akan terus melaksanakan kerjasama rentas kementerian bagi mencari penyelesaian segera supaya penduduk Labuan tidak terus terhimpit dengan peningkatan kos pengangkutan laut.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN