YAN: Minat mendalam terhadap barangan lama mendorong seorang pemuda mengumpul koleksi akhbar lama Utusan Melayu bertulisan Jawi dan Utusan Malaysia yang berusia hampir lima dekad.
Muhammad Faiz Hilmy, 35, berkata, koleksi yang dimilikinya itu adalah akhbar Utusan Malaysia bertarikh 17 Mei 1977 dan Utusan Melayu terbitan 11 September 1981.
“Saya membeli kedua-dua naskhah akhbar ini dengan harga RM500 untuk Utusan Malaysia dan RM300 untuk Utusan Melayu daripada seorang pengumpul barang-barang lama di Kelantan pada tahun lalu.
“Saya menyukai barang-barang lama sejak kecil. Semua koleksi barang lama ini saya jadikan hiasan di kedai makan,” katanya ketika ditemui di Gurun dekat sini.
Usahawan makanan dan minuman itu memberitahu, dia berasa teruja dan bangga apabila berjaya mendapatkan naskhah berkenaan kerana akhbar lama itu bukan sekadar bahan bacaan tetapi mempunyai nilai sejarah tersendiri.
“Lebih mengujakan kerana akhbar Utusan Melayu sudah tidak dicetak lagi, naskhah seperti ini dan syarikat Utusan Melayu ini juga mempunyai sejarah tersendiri.
“Saya ingin menyimpan naskhah ini supaya generasi baharu selepas saya kelak tahu tentang sejarah penerbitan akhbar ini,” katanya.
Tambah Muhammad Faiz, selain akhbar lama, dia turut mempunyai pelbagai koleksi barang antik lain yang menghiasi restorannya.
“Antaranya peti sejuk yang berusia 50 tahun yang boleh dikunci dan meja yang saya beli daripada seorang tauke getah di Melaka yang juga berusia puluhan tahun.
“Meja ini unik kerana di situ berlaku urusan jual beli getah sejak zaman sebelum merdeka lagi,” katanya. – UTUSAN










