UMUM sedia maklum mengenai tuduhan yang dibangkitkan berhubung seorang pemimpin kanan Kerajaan Negeri Pulau Pinang.
Sudah hampir dua bulan, malah dilaporkan lebih 20 individu dipanggil dan dirakam keterangan berkaitan dakwaan salah guna kuasa membabitkan dana zakat oleh Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang.
Namun, sehingga kini, tiada status terkini siasatan daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dimaklumkan kepada umum.
Sekiranya kertas siasatan sudah lengkap dan sedang menunggu keputusan atau maklum balas daripada pihak pendakwaan negeri mahupun Jabatan Peguam Negara, perkara itu wajar dinyatakan secara terbuka.
Penjelasan ini penting khususnya kepada umat Islam yang sebahagiannya merupakan penyumbang kepada dana zakat di negeri ini.
Sekiranya hasil siasatan mendapati wujud kesalahan atau sebaliknya, perkara tersebut perlu diumumkan secara telus tanpa sebarang tekanan atau campur tangan pihak berkepentingan.
Pada masa sama, tiada pihak seharusnya dipersalahkan, sama ada pengadu mahupun individu yang didakwa, selagi proses siasatan masih berjalan. Kepentingan rakyat perlu sentiasa diutamakan.
Sehubungan itu, satu kenyataan rasmi daripada SPRM wajar dibuat bagi menjelaskan kedudukan sebenar kes berkenaan dan mengelakkan persepsi negatif terhadap institusi tersebut. Tambahan pula, isu ini berlaku di negeri kelahiran Perdana Menteri.
Bagi pihak rakyat Pulau Pinang yang terdiri daripada pelbagai kaum, persoalan ini sekali lagi dibangkitkan untuk mendapatkan penjelasan rasmi daripada Ketua Pesuruhjaya SPRM mengenai beberapa perkara.
Pertama, apakah status siasatan yang dilaporkan telah merekodkan keterangan lebih 20 individu terbabit? Adakah proses tersebut masih berjalan atau sudah selesai?
Kedua, adakah hasil siasatan telah dirujuk kepada pihak pendakwaan untuk tindakan selanjutnya?
Ketiga, sekiranya kes berkenaan masih dalam siasatan atau telah diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA), perkara itu perlu diperjelaskan secara profesional berdasarkan fakta yang sahih.
Malaysia ialah sebuah negara yang berteraskan undang-undang. Oleh itu, rakyat berhak mengetahui perkembangan sesuatu kes yang melibatkan kepentingan awam, khususnya apabila ia menyentuh isu berkaitan rasuah dan integriti.
Justeru, satu kenyataan rasmi daripada Ketua Pesuruhjaya SPRM amat diperlukan demi memastikan keadilan serta ketelusan terus terpelihara.
Sebarang kelewatan memberikan penjelasan hanya berisiko menimbulkan pelbagai persepsi dan spekulasi, termasuk terhadap Perdana Menteri yang merupakan anak jati Pulau Pinang serta Presiden PKR. – UTUSAN
RAHMAD ISAHAK
Aktivis Politik










