PETALING JAYA: Seramai 596 calon disahkan layak bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-17 selepas proses penamaan calon selesai di 25 Pusat Penamaan Calon (PPC) seluruh negeri itu, pagi tadi.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Ramlan Harun berkata, jumlah itu melibatkan persaingan bagi 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), menggambarkan keterlibatan tinggi parti-parti politik serta calon bebas dalam PRN kali ini.
“SPR berpuas hati dengan kelancaran urusan penamaan calon hari ini dan ingin menegaskan bahawa tiada borang pencalonan ditolak, sekali gus semua yang hadir disahkan sebagai calon sah,” katanya dalam kenyataan.
Ramlan berkata, calon Bebas merupakan paling ramai dengan 74 calon, diikuti Parti Warisan (Warisan) seramai 73 calon, Parti Impian Sabah (PIS) 72 calon dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) 55 calon.
Dalam pada itu, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) meletakkan 46 calon, Barisan Nasional (BN) 45 calon, Perikatan Nasional (PN) 42 calon serta penyertaan beberapa parti tempatan lain.
PRN kali ini turut menyaksikan persaingan sengit dengan pertandingan sehingga 14 penjuru di beberapa kerusi, sementara kebanyakan kerusi mencatat antara lima hingga 11 penjuru.
Daripada keseluruhan calon, 525 merupakan lelaki dan 71 wanita mengambil bahagian manakala dua calon daripada Parti Kebangsaan Sabah (PKS) merekodkan usia termuda berusia 24 tahun di DUN Silam dan calon tertua berusia 86 tahun di DUN Bingkor.
Menurut Ramlan, tempoh rasmi berkempen bermula hari ini sehingga pukul 11.59 malam, 28 November dengan 86 Pasukan Penguat Kuasa
Kempen Pilihan Raya (PPKPR) ditubuhkan bagi memastikan semua calon mematuhi undang-undang dan peraturan kempen.
Ramlan turut mengingatkan calon supaya memastikan semua bahan kempen mematuhi syarat ditetapkan, selain menasihati pengundi mendapatkan maklumat sahih menerusi saluran rasmi SPR. – UTUSAN










