PETALING JAYA: Tiga syarikat perlombongan digantung operasi selepas didapati tidak mematuhi Surat Kelulusan Skim Pengendalian Melombong (SKSPM).
Perintah Penggantungan Operasi Sementara itu dikeluarkan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam melalui Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG).
Syarikat Asiatic Mine Sdn. Bhd./Nalidah Tin Mine Sdn. Bhd dan Rahman Hydraulic Tin Sdn. Bhd, terlibat dalam operasi perlombongan bijih timah manakala sebuah kilang perlombongan sumber unsur nadi bumi (REE), MCRE Resources Sdn. Bhd.
Kementerian dalam kenyataan di sini semalam berkata, tindakan itu diambil susulan pemeriksaan dan sampel kualiti air JMG di kawasan perlombongan di Hulu Perak hasil aduan pencemaran melibatkan Sungai Rui, Sungai Kijang, Sungai Kepayang dan Sungai Perak.
“Siasatan mendapati berlaku beberapa ketidakpatuhan termasuk pelanggaran syarat pelepasan efluen, kawalan hakisan dan sedimen serta kelemahan dalam pengurusan bahan kimia.
“Berikutan itu, JMG menguatkuasakan penggantungan operasi di bawah Akta Pembangunan Mineral 1994 [Akta 525], yang akan berkuat kuasa sehingga semua langkah pembetulan teknikal dipenuhi dan disahkan oleh jabatan tersebut,” katanya.
Pada Oktober lalu, tular video dan gambar memaparkan perubahan warna air Sungai Perak di Jambatan Kampung Sungai Papan, kira-kira lima kilometer dari Kampung Air Ganda bertukar biru seperti air laut.
Susulan daripada itu, siasatan dijalankan beberapa jabatan antaranya Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS); JMG; Pejabat Tanah dan Galian (PTG) selain Jabatan Alam Sekitar (JAS).
Sementara itu dalam kenyataan sama, kerajaan akan memastikan semua aktiviti perlombongan di negara ini, termasuk bijih timah dan REE dijalankan secara bertanggungjawab, mampan dan beretika, selaras dengan kerangka undang-undang serta amalan industri moden.
Menurutnya, kerajaan juga akan memperkukuh aspek penguatkuasaan bersepadu bagi memastikan industri mineral mematuhi prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), khususnya daripada aspek alam sekitar, keselamatan pekerja dan kesejahteraan komuniti.
“Kerajaan tidak akan berkompromi terhadap pelepasan efluen tidak dirawat, penggunaan bahan kimia yang tidak selamat serta kegagalan melaksanakan kawalan hakisan dan pemantauan kualiti air.
“Semua operator perlombongan diingatkan supaya mematuhi sepenuhnya lesen dan permit berkaitan termasuk SKSPM, di samping memastikan loji rawatan efluen sentiasa berfungsi mengikut Peraturan-Peraturan Pembangunan Mineral (Efluen) 2016, yang mewajibkan air sisa dirawat sepenuhnya sebelum dilepaskan,” katanya.
Kementerian pada masa yang sama memberi penekanan aspek perlindungan sungai, saliran setempat dan air bawah tanah dengan menjadikan ia sebagai keutamaan.
Katanya, ini kerana kesihatan sungai merupakan indikator utama kelestarian industri mineral serta asas kepada keyakinan awam dan pelabur. – UTUSAN










