PARLIMEN: Hampir lima juta hektar Tanah Rizab Melayu direkodkan setakat 2024

PARLIMEN: Hampir lima juta hektar Tanah Rizab Melayu direkodkan setakat 2024

Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Keluasan keseluruhan Tanah Rizab Melayu di seluruh negara direkodkan sebanyak 4,956,639.26 hektar tidak termasuk negeri Pulau Pinang dan Melaka yang tidak mempunyai Enakmen Rizab Melayu setakat 31 Disember 2024.

Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam berkata, urusan berkaitan tanah rizab Melayu adalah di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri, selaras dengan Perkara 74 Perlembagaan Persekutuan serta Butiran 2(b), Senarai II – Senarai Negeri, Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, pemantauan isu berkaitan tanah rizab Melayu dibincangkan secara bersama antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri melalui platform Majlis Tanah Negara (MTN) yang menjadi forum rundingan berkaitan dasar tanah.

“Perbincangan dalam MTN melibatkan perkara seperti ketidakseragaman penguatkuasaan Enakmen Rizab Melayu antara negeri-negeri, proses penggantian tanah rizab yang terkesan akibat pembangunan, serta cabaran pembangunan di atas tanah berstatus rizab Melayu,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman rasmi Parlimen hari ini.

Ia bagi menjawab soalan Datuk Ahmad Saad @ Yahaya (PN-Pokok Sena) mengenai status terkini Tanah Rizab Melayu bagi setiap negeri serta usaha memelihara status Tanah Rizab Melayu selaras dengan Enakmen Rizab Melayu 142.

Tambah kementerian, bagi memperkukuh pengurusan tanah rizab secara sistematik, inisiatif melalui penggunaan Malaysia Geospatial Online Services (MyGOS) telah diperkenalkan.

“MyGOS merupakan platform perkongsian maklumat geospatial secara dalam talian bagi agensi kerajaan, yang berperanan menyediakan pangkalan data spatial untuk membantu Pihak Berkuasa Negeri (PBN) melaksanakan dan merancang pembangunan berskala besar serta mengurus Tanah Rizab Melayu dengan lebih cekap,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×