Malaysia tekad mahu jadi negara bebas plastik

Malaysia tekad mahu jadi negara bebas plastik

NIK NAZMI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ANCAMAN mikroplastik mempengaruhi kehidupan alam sekitar bukan sahaja daripada segi kesihatan tetapi keselamatan makanan dan menjejaskan ekosistem marin di perairan.

Mengulas kesan plastik kepada manusia, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, NIK NAZMI NIK AHMAD mengakui Malaysia tersasar dalam usaha mengurangkan penggunaan plastik mes­kipun sudah merangka dua pelan sebagai panduan un­tuk menangani isu pencemarannya di negara ini.

Kepada wartawan Utusan Malaysia, JUANI MUNIR ABU BAKAR dan FITRI NIZAM bersama jurufoto FAIZ ALIF ZUBIR dan juruvideo NOORUL ERNI NADIA di pejabatnya di Putrajaya, Ahli Parlimen Setiawangsa itu juga menyentuh antara usaha kerajaan mengurangkan penggunaan plastik.

UTUSAN: Usaha kerajaan menangani pencemaran alam sekitar setakat ini?

NIK NAZMI: Langkah menangani pencemaran terutama sekali melaksanakan pindaan ke atas Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 yang selesai tahun ini dan telah pun berkuat kuasa. Denda telah naik, dulu RM100,000 sekarang RM10 juta, sekarang ada penjara mandatori sehingga lima tahun, maknanya kesalahan kena penjara masuk sehingga lima tahun.

Tetapi pada masa masa, kita kena tingkatkan penguatkuasaan. Kalau ada undang-undang tapi tiada penguatkuasaan, maka tiada kesan. Jadi sebab itu, kita tingkatkan usaha penguatkuasaan.

Kita juga melihat ke arah pindaan secara menyeluruh iaitu fasa kedua Akta Kualiti Alam Sekeliling di mana kita lihat isu yang terangkum di bawah perundangan tersebut. Sebab akta ini asalnya bermula 1974, sudah 50 tahun. Jadi ada beberapa aspek, walaupun ada pindaan tapi mungkin ada kerangka yang boleh kita tingkatkan untuk tangani cabaran hari ini.

Malah, kita ada kerjasama termasuk melibatkan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Jabatan Wilayah Persekutuan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Kementerian Kesihatan. Kita juga bergerak secara rentas kementerian untuk menangani isu-isu ini, termasuk kerajaan negeri termasuk platform MEXCOE (Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang Bertanggungjawab Mengenai Alam Sekitar) yang dipengerusikan oleh saya.

Pendekatan kerajaan berhubung ancaman mikroplastik?
Dalam soal ini, ada beberapa kajian sedang dilakukan Institut Penyelidikan Air Kebangsaan Malaysia (Nahrim) yang terletak di bawah Kementerian Peralihan Tenaga Dan Transformasi Air (Petra). Mereka ada melakukan kajian terhadap soal ancaman mikroplastik, ini menjadi satu topik baharu mendapat perhatian mendalam. Itu memang Nahrim dah mula, kita akan teruskan, saya ingat di peringkat institusi pengajian tinggi sudah ada.
Malah, kita sedang mengadakan beberapa siri perbincangan termasuk soal membincangkan kualiti air sungai, satu mesyuarat bersama dengan agensi berkaitan dengan mikroplastik yang menjadi perkara utama kita bincangkan, tetapi pokoknya soal pengurusan plastik.
Jadi kita sedang membangunkan senarai plastik sekali guna yang kita anggap sebagai satu masalah yang boleh dielakkan dan tidak diperlukan. Kita merasakan ini antara perkara membantu kita.
Namun, kadang-kala banyak elemen penguatkuasaan memandangkan penetapan perkara ini terletak di negeri-negeri, maka ia akan menjadi satu rujukan berguna untuk kita kurangkan dan mungkin jangka masa tertentu kita boleh menghapuskan penggunaan plastik sekali guna.

Ada pelan sifar plastik?


Sebenarnya kita sudah ada dua pelan hala tuju tentang plastik iaitu Pelan Hala Tu­ju Malaysia Ke Arah Sifar Penggunaan Plastik Sekali Guna 2018-2030 dan Pelan Hala Tuju Kelestarian Plastik Malaysia 2021-2030, itu menjadi panduan.

Namun kita lihat mungkin sebahagiannya bila kita berdepan pandemik Covid-19, ada banyak penggunaan (plastik), banyak penghantaran makanan. Sebelum ini, kita berhenti guna penyedut plastik minuman namun sebab takut Co­vid-19 (ramai tidak guna).

Kita sedang melihat bagaimana untuk bergerak ke depan untuk satu pelan plastik yang tarikh munasabah untuk kita melaksanakan peralihan ini. Tentang soal hala tuju, semua dah ada, cuma sekarang kita dah lari sedikit, cuma kita mahu perkara ini dapat dilaksanakan.

Banyak negeri-negeri juga berbeza, ada juga misalnya Pulau Pinang, Selangor dan Kuala Lumpur antara ke hadapan dalam soal ini.

Kalau di Pulau Pinang, caj plastik dah sampai RM1, ada kedai sederhana dan mewah, langsung tidak bagi dan kalau mahu beli mungkin caj RM3-4.

Pada 2009 dan 2010 sudah mula kena caj RM1, orang sudah mula bertindak dan angkat daripada kena bayar. Ini perubahan sikap yang perlu kita lalui. Ada negeri lain yang belum, ada sektor belum seperti pasar malam. Namun kena satu rancangan secara menyeluruh, realistik dan memahami keadaan. Pokok pangkal, hala tuju kena jelas.

Mikroplastik wajar dikategori sebagai unsur pencemaran?
Kita akan melihat perkara tersebut kerana kita di peringkat awal lagi fokus tentang pindaan ini (Akta Kualiti Alam Sekeliling) dan ia antara perkara kita boleh kaji sejauh mana sesuai perkara itu untuk penggubalan dasar kita.

Berkaitan kajian Besel Action Network tentang ancaman mikroplastik, cabaran dihadapi Malaysia kerana kita kitar semula plastik iaitu sekitar 30 peratus jadi masih agak rendah, kesan apa berlaku ialah kemasukan sama ada halal atau haram sisa plastik dari luar, ada yang boleh tetapi ada sebaliknya. Tapi fahamlah tidak ikut (undang-undang kemasukan plastik haram) peraturan apa dia kisah, itu yang mendatangkan masalah.

Jika kita kena uruskan sisa dengan baik, khususnya dalam undang-undang sudah sebut kena asing sampah tetapi tidak berlaku di rumah. Jadi, antara perkara kita harus lihat untuk tingkatkan kadar kitar semula. Kalau dipertingkatkan kitar semula, tidak perlu import sisa plastik.
Ini antara isu kita berdepan ketika ini, sebabnya industri di Malaysia memang besar terutamanya sekali halangan kemasukan sisa plastik dari luar negara.

Adakah kerajaan perlu wujudkan jawatankuasa rentas kementerian tangani import mikroplastik?
Itu pendekatan yang perlu kaji. Namun baru-baru ini, ada pertemuan dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, antaranya kita bincangkan isu plastik.
Namun, jika ada jawatankuasa untuk pelan hala tuju, wujud keperluan jawatankuasa kerja atau jawatankuasa pemandu dalam soal ini, kita boleh lihat balik untuk gunakan platform itu bagi dapatkan penglibatan rentas kementerian.

Bagaimana usaha kerajaan untuk mengekang import plastik?
Kita sedang berbincang perkara itu, memang sekarang kita memperhalusi kemasukan plastik tapi ia tetap berlaku secara tidak sah. Namun, antara perkara sangat membantu ialah untuk memastikan aspek kitaran semula itu cukup. Jika ia berlaku, tekanan import barang luar akan berkurangan, itu satu aspek dilihat.

Idealnya, kita tidak mahu negara kita menjadi tong sampah dunia, kita seolah menjadi bahan buangan elektronik, sisa untuk plastik. Ada negara tidak mahu, jadi hantar ke negara kita ini menjadi cabaran kita selepas China mengetatkan syarat kemasukan.

Kalau (China) sekarang sudah terima plastik, jadi masuk Malaysia, Indonesia dan Filipina yang menjadi antara negara utama. Oleh demikian, kita sedang meningkatkan penguatkuasaan termasuk dengan pihak kastam, untuk kita memastikan perkara ini dapat kita atasi.

Oleh itu, selain pendekatan dasar menyeluruh seiring dengan kajian balik dasar plastik yang sedia ada, kita hendak jadikan sebagai antara isu utama bagaimana kerjasama ASEAN menjadi relevan dalam hal ini.

Maka kita perlu bersuara sebagai suara ASEAN, maka suara kita lebih kuat dan besar, jadi itu antara yang akan diselaraskan, kebetulan negara kita akan menjadi Pengerusi ASEAN pada 2025. Kita dah mula, saya pun bangkitkan dengan sahabat negara ASEAN, tapi akan bagi tumpuan pada tahun depan.

Adakah Malaysia akan memeterai Perjanjian Global Plastik?
Kita akan berbincang sebelum memutuskan sebarang keputusan termasuk dengan industri dan masyarakat sivil, NGO melibatkan beberapa perkara yang menjadi perbezaan pandangan.

Tapi bagi kita, ia perlu menekankan aspek peralihan yang adil, soal dan aspek keupayaan teknologi rekabentuk, pengurusan sisa plastik yang perlu dipertingkatkan, itu menjadi asas kita dalam perbincangan dan ambil berat perjanjian plastik global.

Namun belum dimuktamadkan lagi, tetapi bagi saya kita mahu bergerak ke hadapan dan pada masa sama menekankan aspek peralihan yang adil supaya dapat menempuh perubahan diperlukan, sejajar impak minimum kepada alam sekitar dan ekonomi.

Ada sasaran awal bebas plastik?


Cabaran hari ini, kita sebenarnya sasar 2030 tapi bila berlaku Covid-19 sudah lari jadi nak sampai 2030 menjadi cabaran. Oleh sebab itu, kita sekarang tengok pelan ini secara menyeluruh dan perbincangan dengan kementerian lain iaitu satu pelan realistik, kalau boleh saya mahu sasaran pada 2026.

Tapi bukan sahaja soal kementerian tapi juga soal negeri, mungkin boleh dibuat Kuala Lumpur tidak mungkin di kawasan lain, itu cabaran antara kita dilalui. Kita bincang dalam MEXCO, mereka faham tapi ada kekangan masing-masing.

Oleh sebab itu, kita tengok balik segala pelan namun tidak mahu satu pelan baharu, tetapi kena sesuaikan dengan apa yang berlaku.

Kempen 3R (guna semula, pengurangan, kitar semula) di rumah?

Baru-baru ini, kita dah berbincang dengan Alam Flora, mereka tiada masalah dengan pengasingan di sumber. Ini bermakna mereka menggalakkan pengasingan di sumber khususnya di rumah bawah. Jadi, warga kota boleh asingkan sisa kitar semula bermula di rumah. Usaha kitar semula kena dipermudahkan. Kalau dulu ada van datang ambil surat khabar lama.

Selain itu, kita kenalpasti pendekatan Deposit Return Scheme di mana barangan plastik kita pulangkan diberikan inisiatif, ia sekali gus dapat menyemarakkan kitar semula.

Jadi, ia menjadi antara perkara untuk menyemarakkan 3R memandangkan tahun depan sasaran 40 peratus, sekarang 35 peratus. Walaupun ada sedikit ketinggalan, tetapi ada perkembangan positif iaitu meningkat berbanding dahulu.

Akhir sekali orang ramai memainkan peranan, sepatutnya mula asing sisa sampah kita dan buang di tempat yang betul. Kerajaan boleh buat sehabis baik, kalau tidak disambut rakyat, maka ada kekangan di situ. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN