PETALING JAYA: Proses untuk mendapatkan kad Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) sebenarnya adalah ketat dan rumit selain memakan masa.
Ketua Komuniti Pelarian UNHCR di Malaysia, Rafik Ismail berkata, pelarian yang masuk ke negara ini tidak akan menerima kad UNHCR sewenang-wenangnya sebaliknya perlu melalui prosedur penapisan menyeluruh sebelum status mereka disahkan.
Katanya, setibanya mereka di sini, setiap individu perlu berdaftar di Pejabat UNHCR sebelum melalui sesi temu duga terperinci.
“Temu duga itu merangkumi maklumat lengkap mengenai latar belakang, sebab mereka meninggalkan negara asal, dengan siapa mereka datang.
“Semua data ini akan diteliti dan dirujuk ke peringkat lebih tinggi di Pejabat UNHCR bagi menentukan kelayakan sebenar seseorang itu untuk diberi perlindungan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Rafik berkata, tempoh menunggu keputusan sama ada mereka layak memegang kad UNHCR kadang kala boleh mengambil masa tiga hingga 10 tahun, bergantung kepada kes dan situasi semasa.
Ini kerana, katanya, tidak semua pemohon akan diiktiraf sebagai pelarian.
“Kad UNHCR hanya akan dikeluarkan selepas proses pengesahan penuh dibuat, manakala tempoh sah kad pula berbeza antara dua hingga tiga tahun mengikut keperluan,” jelasnya.
Katanya lagi, kad berkenaan juga boleh dimohon secara dalam talian, namun itu hanya proses awal sebelum mereka dipanggil untuk sesi temu duga bersemuka.
“Pendaftaran dalam talian bukan bermaksud mereka terus dapat kad. Mereka tetap perlu menunggu giliran temu duga dan tempoh menunggu pun lama,” katanya.
Dalam pada itu, Rafik menjelaskan, ketiadaan kad UNHCR semestinya memberi cabaran kepada komuniti pelarian yang ada di negara ini terutama melibatkan kekangan pendidikan, dokumen, pekerjaan dan kesihatan.
Katanya, sebahagian besar pelarian tiba di negara ini tanpa sebarang pendidikan asas, menyebabkan mereka tidak mampu membaca atau menulis, apatah lagi berkomunikasi dalam bahasa Melayu atau Inggeris.
“Situasi itu menyukarkan mereka memahami maklumat, mengisi pendaftaran dalam talian atau berurusan secara langsung dengan UNHCR.
“Jadi, tidak mustahil terdapat pihak tidak bertanggungjawab yang mengambil kesempatan terhadap golongan pelarian ini.
“Ada pihak tertentu mendekati mereka dan menawarkan untuk ‘menguruskan’ kad UNHCR. Pelarian yang tidak faham proses sebenar mudah terpedaya,” jelasnya.
Rafiq memaklumkan, tempoh menunggu untuk penempatan pelarian ke negara ketiga adalah bergantung kepada kuota negara penerima serta keadaan semasa serta latar belakang mereka.
Kebiasaannya, ramai pelarian terpaksa menunggu bertahun-tahun iaitu ada yang sehingga 15 hingga 20 tahun bergantung kepada keadaan dan peluang yang ada. – UTUSAN










