MELAKA: Seorang lelaki warga Mesir yang juga suami kepada seorang cucu kerabat diraja mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan menggunakan dadah, minggu lalu.
Tertuduh, Hosam Mohamed Mahmoud Elsayed, 48, membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Sharda Shienha Mohd. Suleiman.
Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa telah menggunakan kepada dirinya sendiri dadah berbahaya jenis 11-Nor-Delta-9-Tetrahydrocannabinol-9-Carboxylic Acid (THC) di tandas pejabat Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah pada pukul 7 malam, 4 Oktober lalu.
Sabit kesalahan, tertuduh boleh didenda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih dua tahun mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 15(1) akta sama.
Kesalahan itu turut dibaca di bawah Seksyen 38B akta sama yang memperuntukkan hukuman menjalani pengawasan tidak kurang dua tahun dan tidak lebih tiga tahun, jika sabit kesalahan.
Mahkamah tidak membenarkan jaminan terhadap tertuduh selepas mendapati pasportnya tidak mempunyai rekod perjalanan yang sah ke negara ini tetapi akan mempertimbangkannya semula sekiranya tertuduh dapat mengemukakan alasan munasabah.
Mahkamah kemudian menetapkan sebutan semula kes pada 19 November depan bagi serahan laporan patologi.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Abdullah Mohd. Rodzlad manakala tertuduh tidak diwakili peguam.-UTUSAN










