KUALA LUMPUR: Wakil Kedutaan Amerika Syarikat (AS) ‘kecut’ apabila enggan menerima memorandum bantahan berkaitan penahanan aktivis Misi Global Sumud Flotilla (GSF) di Gaza, dengan alasan faktor keselamatan.
Setiausaha Politik Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, beliau sendiri telah menghubungi pihak kedutaan untuk menyampaikan memorandum tersebut, namun ditolak pada saat akhir.
“Saya pada hari ini telah berhubung dengan wakil Kedutaan Amerika Syarikat untuk menyatakan hasrat kita menyerahkan memorandum.
“Namun, beliau memaklumkan atas faktor keselamatan, memorandum tersebut tidak dapat diterima pada hari ini.
“Lepas Jumaat ini, kita tuntut Amerika Syarikat supaya terima dengan berani,” katanya ketika berucap pada Himpunan Sumud Flotilla di hadapan Kedutaan AS, di sini hari ini.
Hari ini, lebih 1,000 rakyat Malaysia berhimpun di hadapan Kedutaan Amerika Syarikat (AS) sambil melaungkan ‘Hancur Zionis, Bebas Flotilla’ bagi mengecam kekejaman rejim Israel.
Himpunan itu tercetus susulan penahanan 15 warganegara Malaysia yang menyertai Misi Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza selepas kapal mereka dipintas Tentera Pertahanan Israel (IDF) awal pagi tadi.
Seawal pagi, orang ramai mula membanjiri kawasan sekitar The Linc, Kuala Lumpur sebelum berarak menuju ke Kedutaan AS sambil mengibarkan bendera Palestin dan melaungkan slogan ‘Free Palestine’.
Penahanan yang dianggap sebagai tindakan tidak berperikemanusiaan itu membangkitkan kemarahan rakyat kerana jelas mencabuli undang-undang antarabangsa, manakala AS terus berdiam diri seolah-olah merestui kekejaman Israel.
Himpunan berkenaan dianjurkan bagi menzahirkan solidariti rakyat Malaysia terhadap perjuangan Palestin serta mendesak pembebasan segera semua aktivis yang ditahan. – UTUSAN