Permohonan pelepasan segera bukan tunduk kepada Israel

Tandatangan surat permohonan pelepasan segera bukan tunduk kepada Israel

MOHAMAD Hasan bergambar bersama penduduk yang menghadiri Karnival Mawlid Masjid Sheikh Haji Ahmad 2025 di Bandar Sri Sendayan, Seremban hari ini. - UTUSAN /NUR SHARIEZA ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Tindakan meminta peserta misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) menandatangani surat permohonan pelepasan segera sebelum menyertai misi ke Gaza merupakan langkah diplomatik senyap.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, langkah itu bagi mempercepatkan proses pembebasan sekiranya mereka ditahan pihak berkuasa Israel.

Beliau berkata, perkara itu telah dimaklumkan lebih awal oleh sekretariat misi berkenaan sebagai sebahagian daripada prosedur operasi standard (SOP), memandangkan risiko penahanan sememangnya dijangka berlaku berdasarkan pengalaman flotilla sebelum ini.

“Ramai yang salah faham dan mengkritik seolah-olah kita menyerah kalah. Ini bukan soal tunduk tetapi soal kebijaksanaan.

“Proses perundangan di Israel sangat rumit dan boleh mengambil masa lama. Dengan menandatangani surat tersebut, peserta mengakui memasuki kawasan Israel tanpa kebenaran.

“Ini membolehkan pihak berkuasa Israel mengusir mereka keluar lebih cepat. Ia mempercepatkan proses diplomatik supaya mereka boleh dibawa pulang dengan selamat,” katanya.

Beliau ditemui pemberita pada Karnival Mawlid Masjid Sheikh Haji Ahmad 2025 di Masjid Sheikh Haji Ahmad di Bandar Sri Sendayan di sini, hari ini.

Mohamad berkata, sehingga kini semua 23 rakyat Malaysia yang menyertai misi flotilla itu telah dibebaskan hasil kerjasama erat dengan kerajaan Turkiye, yang turut menghantar pesawat khas bagi membawa mereka pulang dari Israel ke Istanbul.

Katanya, semua peserta berada dalam keadaan sihat, menjalani pemeriksaan perubatan dan kini menunggu urusan kepulangan ke tanah air yang sedang diuruskan oleh Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dengan bantuan Kedutaan Malaysia di Turkiye.

“Kedutaan kita mengurus segala dokumentasi termasuk bagi mereka yang kehilangan pasport. Kita berterima kasih kepada kerajaan Turkiye atas kerjasama yang sangat baik.

“Saya juga telah menghubungi Setiausaha Negara dan Timbalan Setiausaha Negara Amerika Syarikat untuk membantu memastikan keselamatan dan kelancaran urusan ini.

“Rakan-rakan ASEAN yang mempunyai kedutaan di Tel Aviv turut memberi jaminan bantuan jika diperlukan,” katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa misi flotilla bukanlah misi ketenteraan, sebaliknya misi keamanan dan kemanusiaan bagi membantah kekejaman Israel terhadap Palestin.

“Kapal mereka tidak membawa sebarang senjata. Ini misi aman. Jadi apabila peserta ditahan, keutamaan kami adalah keselamatan dan kepulangan mereka.

“Diplomasi bukan bererti menyerah tetapi ia strategi untuk memastikan nyawa rakyat kita dilindungi. Kalau ada yang lebih pandai daripada kita (dalam mengendalikan pembebasan peserta).. buatlah saya tiada isu,”tegasnya.

Menurut beliau, terdapat satu lagi kumpulan flotilla dalam perjalanan ke zon merah dan kerajaan sedang berhubung dengan pihak berkuasa Turkiye, Mesir dan Jordan bagi mendapatkan maklumat lanjut.

“Komunikasi di kawasan itu akan terhad. Sekiranya mereka ditahan, kita akan gunakan pendekatan sama iaitu tandatangan surat permohonan pelepasan segera supaya proses pembebasan dipercepatkan.

“Kalau tidak, proses perundangan boleh jadi sangat panjang dan rumit,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN