Sultan Selangor cadangkan 23 aktivis GSF hasil buku

Sultan Selangor cadangkan 23 aktivis GSF hasil buku

Banjir gagal
SULTAN SHARAFUDDIN IDRIS SHAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mencadangkan 23 aktivis sukarelawan Global Sumud Flotilla (GSF) menghasilkan buku kisah mereka terutama ketika berada dalam tahanan rejim Zionis.

Kesemua aktivis tempatan itu dicadang menulis dan menggabungkan pengalaman sepanjang perjalanan misi kemanusiaan ke Palestin berkenaan.

Istana Alam Shah menerusi kenyataan berkata, baginda menzahirkan kesyukuran atas kepulangan 23 aktivis Sumud Nusantara Malaysia yang menyertai GSF bagi menghantar bantuan seperti makanan dan keperluan harian kepada rakyat Gaza.

Jelasnya, Sultan Sharafuddin mengikuti rapat perkembangan gerakan flotilla itu dan prihatin akan nasib menimpa mereka apabila ditahan rejim Israel di perairan antarabangsa.

“Baginda amat menghargai dan kagum dengan usaha 23 aktivis Malaysia dan semua misi sukarela GSF demi membantu rakyat Palestin yang masih ditindas Zionis.

“Selain itu, baginda berterima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berjaya menguruskan pembebasan dengan segera menerusi hasil kerjasama kerajaan Turkiye,” katanya.

Tambah kenyataan itu, baginda berkenan mencadangkan semua aktivis itu menulis buku sebagai rujukan dan pedoman kepada rakyat negara ini.

“Meskipun bantuan kemanusian kali ini tidak dapat disalurkan kepada rakyat Gaza, baginda berharap usaha GSF akan terus membuka mata dunia.

“Ia menyedarkan semua pihak mengenai penindasan dan kekejaman sebenar yang dilakukan rejim Israel ke atas rakyat Gaza,” katanya.

Sebelum ini, seramai 23 aktivis dari Malaysia dibebaskan oleh rejim Israel pada 4 Oktober lalu selepas ditahan secara tidak sah apabila kapal yang membawa bantuan kemanusiaan serta ubat-ubatan ke Gaza dipintas di perairan antarabangsa pada 2 Oktober lalu.

Mereka kemudiannya dibebaskan dan berlepas dari Lapangan Terbang Ramon, Israel pada 4 Oktober lalu menggunakan pesawat komersial Turkish Airlines yang diurus dan ditaja sepenuhnya oleh kerajaan Turkiye. Kesemua mereka selamat tiba di tanah air semalam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN