KOTA KINABALU: Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) kekal dengan pendirian untuk menggunakan logo sendiri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
Presiden UPKO, Datuk Ewon Benedick berkata, keputusan itu dicapai selepas mengadakan perbincangan membabitkan kepimpinan PH Sabah.
“Tetapi untuk rakan komponen seperti PKR dan DAP, mereka perlu merujuk dan mengadakan perbincangan lanjut mengenainya perkara itu dengan kepimpinan tertinggi masing-masing.
“Saya menghormati tatakelola parti gabungan dalam PH, tapi bagi UPKO apa sudah diputuskan PH Sabah seperti mana disyorkan Pengerusi PH iaitu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim Mei lalu, PH Sabah mempunyai autonomi untuk membuat ketetapan,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Seminar Usahawan Madani: Perniagaan Keluarga anjuran Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) di sini hari ini.
Ewon berkata, keputusan parti itu mencerminkan keunikan politik Sabah serta autonomi PH Sabah dalam menentukan pendekatan terbaik dalam menghadapi pilihan raya negeri.
Beliau yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkata, sebaliknya UPKO menggunakan logo PH dalam pilihan raya Parlimen dan perkara itu sudah disampaikan kepada rakan komponen.
Mengenai rundingan pengagihan kerusi PH Sabah, beliau berkata, walaupun sudah dimuktamadkan di peringkat PH Sabah, namun rakan parti dalam gabungan itu masih memerlukan perbincangan lanjut bersama kepimpinan tertinggi parti masing-masing.
“Apa yang dimuktamadkan itu hanya akan lebih jelas ketika penamaan calon dengan mengambil kira pengalaman sebelum ini, apa yang diputuskan itu boleh berlaku perubahan pada hari penamaan calon.
“Justeru, biar penamaan calon itu menjadi pengumuman calon itu sendiri. Berteka teki dalam banyak perkara pun sesuatu yang menarik juga, biar teka-teki itu sehingga hari penamaan calon,” katanya.










