Tiada imuniti undang-undang bagi pemegang kad UNHCR

Tiada imuniti undang-undang bagi pemegang kad UNHCR

SEBAHAGIAN pelarian menunggu bagi mendapatkan dokumen pengenalan diri yang dikeluarkan oleh Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) ketika tinjauan di Bukit Petaling, Kuala Lumpur. - UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan menegaskan kad yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) bukan dokumen kewarganegaraan dan tidak memberikan sebarang kekebalan atau imuniti daripada tindakan undang-undang di negara ini.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, mana-mana individu termasuk pemegang kad UNHCR yang didapati melakukan kesalahan tetap tertakluk kepada undang-undang Malaysia serta boleh disiasat dan dikenakan tindakan oleh pihak berkuasa.

Beliau berkata, pendirian kerajaan adalah jelas bahawa aspek keselamatan dan kedaulatan negara tidak boleh dikompromi, manakala penguatkuasaan undang-undang perlu dilaksanakan secara adil tanpa mengira status seseorang individu.

“Kad UNHCR bukan dokumen kewarganegaraan dan tidak memberikan imuniti daripada undang-undang Malaysia. Mana-mana individu yang melakukan kesalahan tetap akan disiasat dan diambil tindakan,” katanya menerusi Taklimat Krisis Bekalan Global sejurus mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini.

Dalam pada itu, katanya, kerajaan terus memperkukuh kawalan sempadan negara bagi menangani isu kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI), jenayah rentas sempadan serta ancaman keselamatan yang semakin kompleks.

Menurutnya, sebanyak RM1.2 bilion diperuntukkan merentasi beberapa agensi bagi melaksanakan projek berkaitan kawalan dan keselamatan di pintu masuk negara.

“Peruntukan tersebut melibatkan pelbagai inisiatif termasuk peningkatan aset, penggunaan teknologi pemantauan moden serta penambahbaikan infrastruktur di pintu masuk utama negara.

“Pada masa sama, peluasan operasi Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) sedang dipercepatkan bagi menyeragamkan pengurusan serta penguatkuasaan sempadan negara.

Pada masa ini, katanya, Kementerian Dalam Negeri (KDN) melalui Jabatan Imigresen Malaysia sedang  melaksanakan Program Dokumen Pendaftaran Pelarian, atau DPP  bagi pendaftaran biometrik, saringan, kawalan dan penguatkuasaan.

“Kerajaan turut mengambil maklum kebimbangan rakyat berhubung  pengurusan pelarian, khususnya isu dokumentasi, sindiket  pemerdagangan manusia dan kesannya kepada keselamatan komuniti setempat

“Operasi bersepadu untuk membanteras penyeludupan, pemerdagangan manusia, penyalahgunaan dokumen dan kemasukan melalui lorong haram akan dipertingkatkan. 

“Analitik data dan teknologi pemantauan akan dimanfaatkan bagi mengesan risiko serta menyokong  tindakan penguatkuasaan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN