PUTRAJAYA: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) sedang mempelbagaikan sumber bekalan baja serta memperkukuh bantuan kepada pesawah bagi mengurangkan kesan kenaikan kos input pertanian dan menjamin kelangsungan pengeluaran makanan negara.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata berkata, kerajaan mengambil serius risiko kenaikan harga baja yang boleh memberi tekanan kepada sektor pertanian, khususnya golongan pesawah yang turut berdepan cabaran perubahan cuaca dan peningkatan kos pengeluaran.
Beliau berkata, selain mempelbagaikan sumber input pertanian, KPKM juga sedang menambah baik aspek kawal selia industri bagi memastikan bekalan terus stabil dan mencukupi.
“Kerajaan turut mengambil serius risiko kenaikan harga baja. KPKM sedang mempelbagaikan sumber input, memperkukuh bantuan kepada pesawah dan menambah baik kawal selia industri,” katanya menerusi Taklimat Krisis Bekalan Global sejurus mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.
Katanya, bagi memperkukuh tadbir urus industri baja, Rang Undang-Undang (RUU) Baja dijangka dibentangkan pada awal 2027.
Akmal berkata, RUU berkenaan bertujuan meningkatkan tadbir urus, kualiti dan ketelusan pasaran selain memperkukuh daya tahan bekalan input pertanian negara.
Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan kedudukan bekalan makanan ruji negara ketika ini kekal stabil dan mencukupi meskipun ekonomi global terus berdepan ketidaktentuan.
“Stok penimbal beras sedia ada mampu menampung keperluan domestik bagi tempoh enam bulan, manakala harga Beras Putih Tempatan (BPT) dikekalkan tanpa sebarang kenaikan.
“Dalam keadaan global yang tidak menentu, keutamaan kita adalah memastikan bekalan asas tidak terputus dan rakyat tidak dibebani dengan kenaikan harga yang tidak munasabah,” katanya.
Jelasnya lagi, kerajaan juga memahami tekanan yang ditanggung pesawah akibat perubahan cuaca serta peningkatan kos pengeluaran.
Sehubungan itu, katanya, sehingga 12 Julai lalu, sebanyak RM45.98 juta telah diagihkan menerusi Insentif Pembajakan Kepada Pesawah yang memanfaatkan 118,908 pesawah di Semenanjung Malaysia.
Pada masa sama, katanya, MTEN turut mengambil maklum risiko cuaca panas dan kedudukan paras air empangan yang boleh menjejaskan pengeluaran pertanian sekiranya tidak ditangani lebih awal.
Katanya, pemantauan terhadap faktor berkenaan akan diperkukuh bagi membolehkan langkah mitigasi dilaksanakan sebelum memberi kesan kepada pengeluaran makanan dan bekalan kepada pengguna. – UTUSAN










