PUTRAJAYA: Kerajaan akan meneruskan dan mempergiat rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) Malaysia-Kesatuan Eropah (EU) bagi memperluas akses pasaran serta membuka lebih banyak peluang kepada syarikat tempatan, khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Menter Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, penyusunan semula rantaian bekalan global ketika ini mewujudkan peluang baharu kepada Malaysia.
Beliau berkata, ketika ini, pembeli antarabangsa semakin cenderung mempelbagaikan sumber bekalan dan mengurangkan kebergantungan kepada satu negara atau laluan perdagangan.
“Perkembangan itu perlu dimanfaatkan sepenuhnya bagi menarik pelaburan berkualiti tinggi, memperkukuh ekosistem vendor tempatan serta meletakkan syarikat Malaysia dalam aktiviti ekonomi yang mempunyai nilai tambah lebih tinggi.
“Kerajaan akan meneruskan rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia-Kesatuan Eropah dan memperkukuh kerjasama perdagangan dengan rakan strategik.
“Akses pasaran yang lebih baik mesti diterjemahkan kepada peluang sebenar untuk syarikat tempatan, khususnya PKS,” katanya menerusi Taklimat Krisis Bekalan Global sejurus mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.
Katanya, dalam persekitaran ekonomi global yang semakin mencabar, Malaysia perlu bergerak lebih pantas untuk meningkatkan daya saing dan memanfaatkan perubahan landskap perdagangan antarabangsa.
Pada masa sama, kerajaan turut akan meneliti cadangan pelaksanaan Extended Producer Responsibility (EPR) secara sukarela dengan mengambil kira implikasi kos kepada industri, kapasiti PKS serta tahap kesiapsiagaan infrastruktur kitar semula negara.
Katanya, pendekatan tersebut penting bagi memastikan sebarang dasar baharu dapat dilaksanakan secara berkesan tanpa menjejaskan daya saing perusahaan tempatan.
“Jika dilaksanakan dengan baik, ekonomi kitaran berpotensi meningkatkan penggunaan bahan kitar semula, mengurangkan kebergantungan kepada bahan mentah dan membina sumber bekalan domestik yang lebih tahan terhadap kejutan geopolitik,” katanya.
Jelasnya lagi, usaha memperkukuh ekonomi kitaran juga mampu menyokong agenda kemampanan negara selain mewujudkan rantaian bekalan yang lebih berdaya tahan dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi global. – UTUSAN










