PETALING JAYA: Penyanyi popular Indonesia, Krisdayanti, melakar kejayaan manis pada usia 51 tahun apabila dinobatkan sebagai pemenang pingat perak di Kejohanan Dunia Kungfu ke-10.
Krisdayanti mendapat pengiktirafan itu menerusi kategori Women’s Single Weapon Routines dalam pertandingan yang dianjurkan selama seminggu di Emeishan, China.
“Terima kasih sokongannya,” kata penyanyi itu ringkas menerusi hantaran yang dikongsikan di media sosial.
Dalam perkongsian tersebut, penyanyi Menghitung Hari itu memuat naik foto kemenangan dengan memakai pingat perak di leher sambil memegang sijil pengiktirafan di atas pentas.
Mengintai ruangan komen, ramai yang terinspirasi dengan kemenangan yang diraih Ahli Dewan Perwakilan Rakyat itu menunjukkan tidak ada yang boleh menghalang impian termasuklah usia.
“Tahniah sayangku, wanita hebat,” ucap Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza.
“Kejayaan yang diraih senyap-senyap. Tiada apa yang tidak boleh dilakukan oleh seorang wanita. Tahniah,” tulis satu komen.
“Tahniah ya, ini baru namanya seorang Diva yang tidak berhenti mencipta kejayaan. Sangat menginspirasikan. Salam hangat dari Amerika Syarikat,” tulis komen yang lain.
Kejohanan Dunia Kungfu merupakan acara yang menghimpunkan atlet kungfu seluruh dunia yang akan menilai kepakaran mereka dalam beberapa kategori termasuk menggunakan senjata, kemahiran berlawan tanpa senjata atau rutin tradisional. -UTUSAN










