UMNO tolak tindakan hidang arak majlis kerajaan

UMNO tolak tindakan hidang arak majlis kerajaan

AHMAD Zahid Hamidi berucap pada Majlis Pelancaran Skuad Yayasan Pelajaran Mara Peringkat Negeri Johor 2025 di Stadium Tertutup Arena Larkin, Johor Bahru, Johor hari ini.-UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: UMNO menolak tindakan menghidangkan minuman beralkohol pada Majlis Makan Malam Gala Global Travel Meet 2025 baru-baru ini.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, tindakan itu dianggap tidak wajar serta bercanggah dengan kedudukan Malaysia sebagai negara Islam.

Jelasnya, walaupun kerajaan menghormati agama dan budaya masyarakat berbilang kaum, penganjuran acara rasmi kerajaan perlu mengambil kira sensitiviti umat Islam sebagai agama Persekutuan.

“Tentunya kita harus menolak dan kita mesti tidak bersetuju dengan program berkenaan. Malaysia adalah negara Islam, biarpun kita menghormati agama, budaya dan kelaziman lain-lain agama. Tetapi ini adalah merupakan acara kerajaan,” katanya.

Timbalan Perdana Menteri itu berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Skuad Yayasan Pelajaran Mara (YPM) Peringkat Negeri Johor di Stadium Tertutup Arena Larkin di sini hari ini.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, perkara itu juga akan dibawa ke mesyuarat Jemaah Menteri bagi menyatakan pendirian UMNO terhadap cadangan berkenaan.

“Sebagai Presiden UMNO, kita menolak 100 peratus cadangan itu. Acara seperti ini tidak pernah diadakan dalam mana-mana program rasmi kerajaan sebelum ini dan ia perlu ditolak,” tegasnya.

Semalam Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing menafikan dakwaan bahawa Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (Tourism Malaysia) menganjurkan majlis makan malam yang menyediakan minuman keras kepada tetamu baru-baru ini.

King Sing mendakwa Tourism Malaysia hanya bertanggungjawab menganjurkan acara Global Travel Meet dan majlis makan malam yang dipertikaikan sebenarnya adalah inisiatif pihak industri dan sektor swasta yang mahu menaja serta meraikan rakan-rakan antarabangsa. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN