UMNO Sabah bantah rayuan AGC isu 40 peratus hasil negeri - Utusan Malaysia

UMNO Sabah bantah rayuan AGC isu 40 peratus hasil negeri

BUNG MOKTAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: UMNO Sabah menegaskan pendiriannya menolak sebarang usaha Jabatan Peguam Negara (AGC) memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang mengarahkan Kerajaan Persekutuan melaksanakan pemberian hasil 40 peratus kepada negeri itu.

Ketuanya, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, tindakan sedemikian bukan sahaja boleh menjejaskan semangat kerjasama antara kerajaan negeri dan Persekutuan, malah berisiko membangkitkan semula isu lama yang sepatutnya telah diselesaikan dengan baik.

Katanya, UMNO Sabah juga akan mengarahkan semua ahlinya di Parlimen mengemukakan usul bantahan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai tanda solidariti mempertahankan hak negeri.

“Jika AGC tetap meneruskan rayuan, UMNO Sabah tidak akan berdiam diri,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan Kerajaan Persekutuan perlu membuat semakan dan berbincang bersama Kerajaan Negeri Sabah berhubung pemberian khas sebanyak 40 peratus kepada negeri itu bagi tempoh bermula 1974 sehingga 2021 dalam masa 180 hari bermula semalam.

Perintah tersebut dikeluarkan oleh Hakim Datuk Celestina Stuel Galid selepas membenarkan permohonan Persatuan Undang-Undang Sabah (SLS).

Tambah Bung Moktar, keputusan Mahkamah Tinggi itu merupakan kemenangan besar buat rakyat Sabah, sambil menzahirkan penghargaan kepada SLS atas keberanian membawa isu berkenaan ke muka pengadilan.

“Rakyat Sabah sudah terlalu lama bersabar. Kini tiba masanya kita bersatu dan menuntut hak yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Hak ini bukan satu anugerah, sebaliknya janji perlembagaan yang wajib dipenuhi. Sabah tidak menuntut lebih, sebaliknya hanya menegaskan apa yang telah dijanjikan,” tegasnya.

Dalam pada itu, beliau juga menggesa agar seorang penilai bebas dilantik bagi menentukan jumlah sebenar hasil yang sepatutnya diterima Sabah sejak tahun 1974.

“Langkah ini penting supaya proses pengiraan dan pembayaran dilakukan secara adil, telus serta selaras dengan semangat asal Perjanjian Malaysia 1963 (MA63),” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN