KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) Johor menang selepas ‘dibantu’ oleh Parti Bersama, yang bermatlamatkan untuk membalas dendam kepada Pakatan Harapan (PH), khususnya PKR walaupun menjadi parti yang gagal.
Exco Angkatan Muda Keadilan (AMK), Dzul Hilmi Zainol berkata, pihaknya berharap Datuk Seri Rafizi Ramli berpuas hati dengan pencapaian tersebut walaupun berhabis puluhan ribu ringgit apabila hilang deposit.
“Saya harap mereka sudah boleh tutup kedai selepas ini apabila misi membalas dendam kepada PH khususnya di Johor telah berjaya.
“Justeru, saya harap penyokong PH akan membuka mata dan tidak lagi simpati kepada Rafizi kerana tindakannya hanya memenangkan musuh di Pilihan Raya Negeri Sembilan (PRN) Negeri Sembilan dan Melaka selepas ini,” katanya hari ini.
Sebelum ini, pemimpin DAP, Tony Pua berkata, antara kerusi PH yang berjaya disabotaj oleh parti Rafizi ialah Perling, Stulang dan Bukit Batu.
Mengulas lanjut, Dzul Hilmi berkata, apa yang berlaku di Johor membuktikan bahawa tindakan Rafizi dan partinya bukan melemahkan BN, sebaliknya memecahkan undi yang sepatutnya mengukuhkan PH.
Katanya, keputusan pilihan raya jelas menunjukkan siapa yang paling mendapat manfaat daripada perpecahan ini apabila undi penyokong reformasi berpecah, pihak yang paling untung ialah BN.
“Saya berharap Rafizi berpuas hati dengan keputusan tersebut. Apa yang dilihat sepanjang kempen lebih tertumpu kepada menyerang PH dan PKR berbanding mengemukakan tawaran baharu yang mampu meyakinkan rakyat.
“Hakikatnya, selepas berbelanja besar, mereka masih gagal meraih sokongan pengundi sehingga kehilangan deposit di banyak kerusi. Sudah tiba masanya untuk melakukan muhasabah,” katanya.
Jelasnya, fokus semua pihak yang memperjuangkan agenda reformasi sepatutnya adalah memperkukuh PH dan memastikan kebajikan rakyat terus menjadi keutamaan, bukannya membuka ruang kepada BN dan Pas untuk memperkukuhkan kedudukan mereka.
“Kepada seluruh penyokong PH dan PKR, marilah kita mengambil iktibar daripada keputusan ini.
“Perpecahan hanya menguntungkan pihak lawan, manakala perpaduan adalah kekuatan utama untuk meneruskan agenda reformasi demi masa depan negara,” katanya. – UTUSAN










