KUALA LUMPUR: Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) mencatatkan sejarah baharu apabila menghantar kontinjen terbesar bagi mewakili negara ke Pertandingan WorldSkills Shanghai 2026 (WSC) Edisi ke-48 yang dijadualkan berlangsung dari 22 hingga 27 September depan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau mempunyai keyakinan tinggi bahawa kontinjen kali ini mampu melakar sejarah dengan membawa pulang pingat emas pertama negara.
Katanya, sasaran itu bukan mustahil sekiranya semua peserta memanfaatkan baki masa yang ada untuk memperkemas kemahiran memperkukuh disiplin serta mengekalkan fokus yang tinggi.
“WorldSkills merupakan penanda aras emas bagi kecemerlangan kemahiran global. Namun, kita harus berani mengakui hakikat bahawa sejak penyertaan pertama kita pada tahun 1993, pingat tertinggi yang pernah dirangkul oleh peserta Malaysia hanyalah pingat gangsa.
“Keberadaan anda di Shanghai nanti bukan lagi untuk mencuba nasib sebaliknya datang dengan tekad untuk mencipta kejayaan.
“Buktikan bahawa TVET Malaysia khususnya TVET@KKDW mempunyai standard bertaraf dunia,” katanya ketika Majlis Amanat Bersama Kontinjen TVET@KKDW ke Pertandingan WorldSkills Shanghai 2026 di sini hari ini.
Dalam majlis yang sama, beliau turut menyerahkan Jalur Gemilang kepada kontinjen negara sebagai simbolik pelepasan dengan demonstrasi robot humanoid yang dikendalikan oleh Pusat Robotik dan Automasi UniKL.
Beliau turut mengumumkan penyediaan ganjaran khas kepada mana-mana peserta di bawah ekosistem KKDW yang berjaya merangkul pingat emas dalam pertandingan berprestij itu.
Daripada 22 peserta keseluruhan kontinjen Malaysia, seramai sembilan peserta adalah daripada institusi di bawah KKDW iaitu TVET MARA, Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dan GIATMARA yang akan bertanding dalam sembilan bidang kemahiran teknologi tinggi termasuklah Cyber Security, Rail Vehicle Technology, Digital Construction dan Mechanical Engineering CAD.
“Saya akan bawa mereka yang menang untuk pergi umrah. Bukan setakat mereka sahaja tetapi ibu bapa juga dengan syarat perlu memenangi pingat emas,” katanya.
Mengulas lanjut mengenai hala tuju pendidikan kemahiran luar bandar, Ahmad Zahid berkata, KKDW kini sedang memperkasakan agenda TVET 2.0 secara menyeluruh.
Jelasnya, transformasi itu penting bagi memastikan anak-anak luar bandar tidak hanya mahir mengendalikan mesin tetapi berubah menjadi pencipta teknologi, pakar analitik data serta menguasai kemahiran kecerdasan buatan (AI) dan teknologi hijau.
“Kita mahu membuktikan bahawa kejayaan TVET@KKDW bukan sekadar pada angka kemasukan.
“Kejayaan sebenar ialah apabila seorang anak desa yang dahulu terbatas oleh geografi dan ekonomi akhirnya mampu berdiri megah di pentas dunia dengan maruah diri,” katanya. – UTUSAN









