Ulasan No Other Choice: Kita ‘seorang’ tarikh luput - Utusan Malaysia

Ulasan No Other Choice: Kita ‘seorang’ tarikh luput

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPERTI sebuah kisah dongeng, di rumah agam berlaman luas, Yoo Man-su memanggang belut yang dihadiahkan majikan.

Sangkanya, pemberian itu sempena mengenang 25 tahun kerja kerasnya selama bekerja di syarikat pengusaha kertas. Man-su hidang makanan itu buat keluarga di hari cuti.

Isterinya yang cantik dan bertubuh langsing memeluknya. Seluruh ahli keluarga berkumpul di meja saling ketawa, melihat ibu mereka menjulang kasut tarian baru dengan anjing-anjing berkejaran di laman.

Bunga-bunga musim luruh berterbangan ditiup angin, visual disunting dengan warna cerah, begitu indah.

Saya sudah dapat segalanya dalam hidup,’ begitulah lebih kurang kata-kata yang terpacul dari mulut Man-su ketika mereka anak-beranak saling berpelukan di laman.

Namun Man-su lupa, dalam hidup, mana ada yang kekal. Belut yang dihadiahkan bos rupanya tanda selamat tinggal.

Sudah tentu dia terkejut, tidak boleh menerima hakikat bahawa 25 tahun usia yang telah diabdikan kepada syarikat kini berakhir dengan seekor belut. ‘No other choice’ – tak ada pilihan lain dah, kata para majikan dan pelabur ketika Man-su cuba merayu agar dirinya tidak dibuang.

Park Chan-wook, sutradara auteur menerusi No Other Choice (NOC) sekali lagi membuat kita menaakul lapis-lapis hidup dengan ragaman cerita, juga letak duduk makna setiap subjek yang ada dalam bingkai seperti mana deretan naskhah masterpiece beliau sebelum ini.

KETIKA MUSUH TERBESAR KITA SEBUAH SISTEM

Kita mula terjatuh dan menjalin hubungan parasosial begitu akrab dengan Man-su. Memetik satu ayat dalam filem ini yang berbunyi ‘Di Korea Selatan, hilang kerja sama dengan mati’.

Saya kurang arif tentang graf terkini peluang kerja di negara itu namun ada satu hal yang pasti, gelojak resah dan kebuntuan Man-su sampai harus merayu-rayu berlutut minta kerja di depan tandas begitu kuat berbekas. Kita faham remuk redam itu.

Di mana-manapun, hilang kerja akan seperti menurunkan hormat dan kagum masyarakat terhadap diri kita. Seolah-olah seluruh identiti siapa diri kita ditentukan dengan standard pekerjaan kita. Formula mudah, banyak gaji, semakin banyak hormat masyarakat yang memang hidup dengan kiblat kapitalisme.

Dalam buku sastera klasik Antoine de Saint-Exupéry, The Little Prince, sudah lama menyindir sikap-sikap ini menerusi sosok Little Prince terhadap ketaksuban kita mengukur semua benda dengan nombor-nombor. Kita sering bertanya ‘berapa banyak?’ berbanding hal yang sepatutnya lebih membumi seperti ‘apa khabar?’ ketika bertemu manusia.

Berbanding wanita, Man-su lebih kuat terdera kerana tidak sanggup melihat keluarganya harus hidup dengan catu-catu selepas hilang kerja. Apalah erti menjadi lelaki jika tidak mampu memberikan kesenangan kepada anak-anaknya. Jadi ‘no other choice’ menjadi prinsip Man-su bahawa dengan cara apapun, tiada pilihan lain, dia perlu dapatkan pekerjaan secepat mungkin.

Namun, di sinilah Park membawa wacana kegelisahan orang pertengahan usia tersepit dalam peralihan zaman. Musuh sebenar yang dihadapkan Man-su bukanlah tiga orang pesaing yang dibunuhnya. Namun sebuah sistem kapitalisme yang bila-bila masa boleh menyingkirkan kita demi memaksimumkan angka-angka. Sebagaimana kehadiran robot-robot pasca industrial.

Park seolah mewakili kebimbangan 34.1 peratus pekerja Korea Selatan yang gelisah digegar perubahan digital dan kecerdasan buatan, seperti yang saya baca dalam laporan akhbar negara itu bulan lalu.

Apa yang memilukan, walaupun kita sudah berikan hati, waktu dan tenaga untuk membangunkan sebuah syarikat, namun sistem kapitalisme tidak pernah peduli itu semua. Seperti makanan basi, dalam sistem ini, kita juga akan selalu ada tarikh luputnya.

Saya terkenang bagaimana dialog dilontarkan Man-su ketika bertemu pesaing keduanya bahawa dia faham bahawa lelaki itu rindu untuk kembali bekerja, berbual dan minum dengan rakan sekerja.

Namun, setelah Man-su berjaya mendapat kerja (walaupun hanya sekadar jawatan pengurus kilang), dia tetap merasai kekosongan kerana ‘rakan-rakan’ sekerjanya hanya robot-robot. Man-su tahu, walau dia bersorak meraikan kemenangan, dalam hati, dia tetap menjadi seseorang yang kalah.

LAPIS-LAPIS METAFORA DALAM NO OTHER CHOICE

Sebagai yang pernah menonton kerja Park dalam Oldboy, The Handmaiden dan Decision to Leave, sukar untuk tidak terpesona melihat bagaimana sutradara ini sangat cemerlang memanipulasi bingkai dengan makna-makna yang menggoda fikiran. Apa yang dipilih Park tidak sekadar cantik tapi berhujah.

Park banyak bermain dengan cahaya, bayang-bayang dan silau dalam filem ini. Bahkan semasa temuduga kerja, dia tidak dapat melihat dengan jelas wajah orang yang bertanya soalan padanya.

Mata Man-su berpisat menahan matahari seolah sukar untuknya menghadapi kenyataan baru dalam hidup.

Tapi wajah bakal majikan samar-samar di balik cahaya saya fikir sengaja ditunjukkan Park seolah-olah memberitahu kapitalis memang penuh dengan kekaburan, baik dari segi moral begitu juga sosial.

Bagaimanapun, walaupun sistem ini selalu memberikan kita ‘no other choice’ tapi cinta dan kasih sayang keluarga tidak seperti itu. Mereka menerima kita, seperti itu seadanya. Selama mana kita masih sayang antara satu sama lain, kita bukan tarikh luput kepada sesiapa.

Sebab itu, ketika Man-su sekali lagi terpisat memandang cahaya matahari, anak lelakinya membetulkan badan, menahan terik matahari daripada menujah tepat ke mata Man-su.

Dia seolah memberitahu, dia akan selalu ada dan nyata setiap kali bapanya itu mengharungi betapa absurbnya kehidupan.

Park membancuh semuanya dalam jenaka, Man-su adalah bukti bahawa dalam sistem kapitalisme ini, kita bukan diri kita lagi ketika dihimpit survival mood. Menjadi terdesak akan selalu mengejutkan serigala yang tertidur dalam diri kita.

Ketika kita mentertawakan setiap kebodohan dan kedunguan seorang Man-su, tiba-tiba ada sesuatu yang menampar saya dan membuat terfikir. Dalam panggung ini, adakah kita sedang mentertawakan nasib kita masing-masing?

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN