TUDM nafi lengahkah perintah Mahkamah - Utusan Malaysia

TUDM nafi lengahkah perintah Mahkamah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) menafikan dakwaan sengaja melengahkan pelaksanaan perintah mahkamah tanpa alasan munasabah.

Panglima Tentera Udara, Jeneral Datuk Seri Muhamad Norazlan Aris berkata, pihaknya mengambil maklum mengenai notis permohonan pengkomitan yang dikemukakan oleh Tetuan Zalil Mohd & Partners berhubung perkara itu.

Katanya, notis berkenaan diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan lanjut.

“Pihak TUDM menafikan sekeras-kerasnya kenyataan yang mendakwa pihak TUDM dengan sengaja melengahkan pelaksanaan perintah mahkamah tanpa alasan munasabah.

“TUDM memandang serius pelaksanaan Perintah Mahkamah Rayuan yang berkenaan. Namun, pelaksanaannya adalah tertakluk kepada prosedur perkhidmatan serta peruntukan undang-undang yang sedang berkuat kuasa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sebelum ini seorang bekas sarjan TUDM, Ahmad Zaini Zainon memfailkan permohonan prosiding komital terhadap Panglima TUDM atas dakwaan menghina mahkamah kerana gagal melaksanakan perintah Mahkamah Rayuan bertarikh 20 Mei lalu untuk mengadakan perbicaraan semula kesnya.

Permohonan itu difailkan melalui Tetuan Zalil Mohd & Partners pada 25 September lalu dan ditetapkan untuk pengurusan kes pada 13 Oktober ini.

Dalam afidavit sokongannya, Ahmad Zaini berkata, Panglima Udara selaku responden masih tidak melaksanakan perintah Mahkamah Rayuan bertarikh 20 Mei lalu untuk mengadakan perbicaraan semula tanpa alasan munasabah.

Ahmad Zaini berkata, dua benar-benar percaya bahawa pematuhan dan pelaksanaan perintah mahkamah tidak sepatutnya mengambil masa tiga bulan, dan kelewatan oleh pihak responden adalah disengajakan.

Ahmad Zaini, 42, disabit kesalahan oleh Mahkamah Tentera pada 22 September 2021 mengikut Seksyen 51 Akta Angkatan Tentera 1972 kerana kesalahan dadah, sebelum diberhentikan daripada perkhidmatan pada 22 April 2022.

Mahkamah Tinggi Shah Alam menolak permohonan semakan kehakiman Ahmad Zaini pada 6 Februari 2024, namun Mahkamah Rayuan pada 20 Mei lalu membenarkan rayuannya dan mengembalikan kes itu ke Mahkamah Tentera untuk perbicaraan semula.

Mengulas lanjut, Muhamad Norazlan berkata, TUDM sudah mengambil langkah bagi melaksanakan perintah mahkamah berkenaan dan akan menjelaskan perkara itu dengan lebih lanjut dalam prosiding seterusnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN