PETALING JAYA: Syarikat pembetungan nasional, Indah Water Konsortium (IWK) Sdn. Bhd. dilantik oleh Bank Pembangunan Asia (ADB) sebagai mentor kepada tiga utiliti pengurusan air sisa kumbahan di Indonesia.
Pelantikan di bawah program Water Organizations Partnerships for Resilience (WOP4R) yang dibiayai bersama oleh Gates Foundation dan Japan Special Fund itu, sekali gus memperkukuh peranan Malaysia dalam memajukan pengurusan air sisa yang mampan serta kecemerlangan utiliti di peringkat serantau.
Kerjasama selama 18 bulan ini dimeterai menerusi majlis pertukaran dokumen memorandum persefahaman (MoU) antara ADB, IWK serta tiga utiliti Indonesia iaitu Dinas Pekerjaan Umum (Dinas PU) Kota Makassar, Dinas Pekerjaan Umum dan Perancangan Ruang (Dinas PUPR) Kota Jambi dan Dinas PUPR Kota Pekanbaru.
Ketua Pegawai Eksekutif IWK, Narendran Maniam berkata, pelantikan tersebut mencerminkan peningkatan pengiktirafan serantau terhadap kepakaran IWK serta menggariskan kepentingan kerjasama antara syarikat utiliti dalam membangunkan perkhidmatan yang berdaya tahan.
“Selama lebih tiga dekad IWK diberi amanah menguruskan sistem pembetungan Malaysia, syarikat mempelajari bahawa membina organisasi yang berdaya tahan bukan sekadar melibatkan pembangunan infrastruktur.
“Ia memerlukan tenaga kerja berkeupayaan, sistem berkesan, kerjasama kukuh serta komitmen terhadap pembelajaran berterusan.Kami berbesar hati diberi kepercayaan untuk berperanan sebagai mentor utiliti kepada Makassar, Jambi dan Pekanbaru.
“Melalui perkongsian ilmu pengetahuan dan pembangunan keupayaan, kita mampu memperkukuh institusi, memperkasa modal insan dan memberikan manfaat berkekalan kepada komuniti,” katanya dalam kenyataan.
Menerusi program WOP4R ini, IWK akan menyediakan sokongan teknikal, bimbingan serta perkongsian pengetahuan bagi membantu ketiga-tiga utiliti terbabit melaksanakan pelan tindakan masing-masing dengan fokus kepada penambahbaikan prestasi operasi, pengurusan aset, keselamatan dan kecekapan perkhidmatan.
Tiga utiliti Indonesia tersebut merupakan penerima manfaat di bawah Metropolitan Sanitation Management Investment Project yang dibiayai oleh ADB, bagi menyokong pembangunan sistem pembetungan berpusat serta loji rawatan air sisa kumbahan di bandar-bandar berkenaan.
Mengulas lanjut, Narendran berkata, penglibatan ini sangat penting dalam mendepani cabaran industri yang semakin kompleks termasuk urbanisasi, perubahan iklim, kekangan sumber dan jangkaan pelanggan yang sentiasa berkembang.
“Apabila kita memperkukuh sesebuah utiliti, kita turut memperkukuh daya tahan seluruh rantau,” tambahnya.
Sebagai kerjasama kluster berkembar pertama ADB di bawah fasa kedua program WOP4R, inisiatif ini menandakan satu pencapaian penting dalam kerjasama serantau.
Selain pengiktirafan ini, IWK turut menganggotai Steering Committee bagi inisiatif 300 Water Leaders yang menggalakkan pembelajaran bersama menerusi bengkel serta kumpulan pembangunan kolaboratif, sekali gus mencerminkan peranan syarikat yang semakin berkembang di peringkat global. – UTUSAN










