Pencarum boleh ‘opt-out’ Lindung 24 Jam mulai Isnin

Pencarum boleh ‘opt-out’ Lindung 24 Jam mulai Isnin

MOHAMMED Azman Aziz Mohammed bercakap dalam sidang media mengenai Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja (LINDUNG 24 Jam) di Menara Perkeso, Jalan Ampang, Kuala Lumpur, hari ini - UTUSAN/SYAKIR RADIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pencarum yang tidak berhasrat meneruskan caruman Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja (Lindung 24 Jam) perlu melengkapkan borang perakuan pelepasan liabiliti menerusi mekanisme `opt-out` yang disediakan secara dalam talian mulai Isnin.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, perakuan tersebut penting bagi mengelakkan sebarang pertikaian atau implikasi undang-undang sekiranya pekerja terlibat dalam kemalangan di luar waktu kerja selepas memilih keluar daripada skim berkenaan.

Beliau berkata, selepas perakuan itu dilengkapkan, Perkeso dan majikan tidak boleh dipertanggungjawabkan bagi sebarang kemalangan, kecederaan atau kematian yang berlaku di luar waktu kerja.

“Jika berlaku kemalangan, kecederaan atau kematian di luar waktu bekerja, majikan atau Perkeso tidak akan bertanggungjawab untuk menyediakan perlindungan dan bayaran.

“Kita tidak mahu selepas ini Perkeso atau majikan dipersalahkan sedangkan pekerja sendiri telah memilih untuk tidak meneruskan caruman,” katanya dalam sidang akhbar khas di Menara Perkeso, di sini hari ini.

Menurut Mohammed Azman, pekerja boleh mengisi sendiri perakuan berkenaan secara dalam talian, namun perlu memaklumkan keputusan itu kepada bahagian sumber manusia atau majikan kerana pembayaran caruman dilaksanakan oleh pihak majikan.

Katanya, pilihan keluar berkenaan berkuat kuasa selepas perakuan diterima dan pekerja yang membuat pilihan tersebut pada bulan ini tidak perlu meneruskan caruman bagi Julai.

Bagaimanapun, beliau berkata, caruman yang telah dibayar sebelum ini tidak akan dipulangkan kerana perlindungan di bawah Lindung 24 Jam telah pun berkuat kuasa mulai 1 Jun lalu.

“Akta ini telah dikuatkuasakan bermula 1 Jun. Caruman yang telah dibuat sebelum pilihan keluar dilaksanakan tidak boleh dipulangkan kerana pekerja telah mendapat perlindungan dalam tempoh tersebut,” katanya.

Menurut Mohammed Azman, pekerja yang memilih untuk menarik diri masih boleh menyertai semula skim berkenaan pada bila-bila masa sekiranya berubah fikiran dan mahu mendapatkan perlindungan.

“Keputusan Kabinet menjadikan Lindung 24 Jam sebagai skim pilihan hanya terpakai kepada pekerja tempatan, manakala caruman bagi pekerja asing kekal mandatori.

“Perkeso bersama Kementerian Sumber Manusia akan mengkaji semula mekanisme dan kemapanan dana Lindung 24 Jam menjelang penghujung tahun ini susulan perubahan dasar daripada caruman mandatori kepada pilihan,” katanya. – UTUSAN 

Pada 8 Julai, kerajaan memutuskan caruman bagi Lindung 24 Jam bukan bersifat mandatori.
Mohammed Azman Aziz Mohammed bercakap dalam sidang media mengenai Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja (LINDUNG 24 Jam) di Menara Perkeso, Jalan Ampang, Kuala Lumpur, hari ini – UTUSAN/SYAKIR RADIN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN