KUALA LUMPUR: Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin berkenan berangkat menghadiri sambutan Hari Haiwan Sedunia 2025 di sini hari ini.
Keberangkatan baginda diiringi Penasihat Undang-Undang Persatuan Menolong Haiwan (SPCA) Selangor, Datuk Yeap Yu Lin dan Setiausaha Kehormat SPCA, Gerald Tan.
Tengku Permaisuri Norashikin berkenan menyaksikan persembahan khas tiga anjing jagaan SPCA serta melawat reruai pameran, termasuk Pembaharuan Lesen Anjing 2025/2026.
Penganjuran sambutan tersebut merupakan kerjasama antara SPCA Selangor dan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) bagi meningkatkan kesedaran terhadap kebajikan haiwan serta memupuk nilai kasih sayang dan tanggungjawab terhadap haiwan, khususnya kucing dan anjing.
Sementara itu, Setiausaha Kehormat SPCA, Gerald Tan berkata, Hari Haiwan Sedunia bukan sekadar sambutan, sebaliknya menjadi satu pergerakan global untuk menghormati haiwan dalam kehidupan seharian.
“Sambutan ini membuktikan komitmen kami untuk meningkatkan standard penjagaan dan kebajikan haiwan di seluruh Malaysia. Ia melibatkan bukan sahaja orang ramai, tetapi juga majlis perbandaran dan institusi berkaitan.
“Kes seperti Kopi serta laporan berterusan mengenai kejadian keracunan haiwan mengingatkan kita bahawa kekejaman masih wujud, dan berdiam diri bukanlah satu pilihan,” katanya ketika berucap pada majlis berkenaan.
Menurutnya, penghargaan terhadap haiwan mencerminkan nilai belas kasihan dan tanggungjawab kolektif masyarakat sejagat dalam memastikan setiap makhluk hidup diberikan layanan berperikemanusiaan serta hak untuk hidup dalam persekitaran yang selamat.
Sambutan Hari Haiwan Sedunia 2025 yang mengangkat tema ‘Be Kind to All Kinds’ turut disifatkan sebagai penghormatan tulus terhadap nilai kemanusiaan, semangat komuniti dan kasih sayang terhadap haiwan.










